Membawang Hari Ini

Ebby Yus Enggan Sertai Pertandingan Lawak

KUALA LUMPUR: Tidak rela berada dalam tekanan, pelakon dan pelawak, Ebby Yus, 55, enggan memasuki sebarang pertandingan walaupun ia menawarkan ganjaran lumayan.

Katanya, keadaan kesihatan antara faktor utama mendorongnya memilih kehidupan lebih tenang.

“Bukan memilih, sebaliknya penyakit saya alami sejak beberapa tahun lalu membuatkan saya terpaksa menolak tawaran menyertai pertandingan lawak. Jika dikira, sampai musim ini, saya sudah menolak lapan pelawaan untuk menyertai sebuah program televisyen. Namun, syukur rakan yang mengajak saya bersama mereka memahami keadaan ini.

“Saya tidak kisah untuk menjayakan persembahan biasa. Sebaliknya, format pertandingan memerlukan kita lebih fokus dan sentiasa berfikir untuk memerah idea. Tentunya keadaan itu membuatkan saya tak dapat lari daripada tekanan.

“Jadi, bagi mengelakkan tekanan untuk mencari bahan setiap minggu, lebih baik saya tumpukan perhatian terhadap pekerjaan atau tawaran seni lain,” katanya pada sidang media Stand Up Comedy Otai.

Program yang menjadi gelanggang kepada ‘orang lama’ dalam arena lawak beraksi itu akan disiarkan menerusi sebuah saluran berbayar, bermula 5 Disember ini.

Selain Ebby, seramai 17 lagi artis bakal menjayakannya, termasuk AR Badul, Salih Yaacob, Fauziah Nawi, Angeline Tan, Rama, Wan Maimunah, Imuda, Jalil Hamid, Sathiya dan Sheila Mambo.

Terdahulu, Ebby atau nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid mempunyai masalah jantung dan penyakit buah pinggang.

Mengenai tawaran lakonan, katanya, dia bersyukur kerana masih menerima kepercayaan daripada penerbit, namun ada yang terpaksa ditolak kerana faktor lokasi.

Kongsi Ebby, masalah kesihatan menyebabkannya sukar untuk bekerja di lokasi terbuka, terutama dalam keadaan cuaca panas.

“Kebiasaannya, kalau program dilangsungkan dalam studio, saya mampu terima undangan mereka. Tetapi, jika penggambaran panjang dan terdedah kepada panas, ia menyukarkan keadaan saya.

“Daripada menyusahkan orang, saya terpaksa menolaknya. Mujur rata-rata memahami keadaan saya. Malah, mereka tidak serik untuk undang lagi kalau ada watak atau persembahan sesuai dengan situasi saya sekarang.

“Sebenarnya, saya tak mahu penyakit ini menjadi penghalang untuk bekerja. Cuma, saya kena memilih tawaran sesuai dan mampu untuk dilaksanakan. Macam Stand Up Comedy Otai, saya bersedia menjayakannya kerana ia diadakan dalam studio, selain dapat berkumpul dengan rakan seperjuangan lain. Keadaan itu yang membuatkan saya seronok,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");