Membawang Hari Ini

Fitri Haris Kini Bergelar Doktor Falsafah

KUALA LUMPUR: Dalam sibuk membuat persiapan bernikah, penyanyi dan bekas anggota kumpulan nasyid UNIC, Fitri Haris sempat ‘terbang’ ke United Kingdom (UK) untuk menghadiri majlis konvokesyen di Universiti Nottingham.

Menurut BH Online, ditemani ibu bapa, Fitri menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang muzik Islamik di universiti berkenaan, pada 10 Disember lalu.

Fitri bersyukur usahanya selama empat tahun membuahkan hasil.

“Banyak suka dua, jatuh bangun dalam pengajian saya alami. Ini umpama suatu kejayaan dan hadiah besar untuk perkahwinan saya kelak. Penamatnya cukup indah,” katanya kepada BH Online.

Fitri memberi dedikasi kejayaannya bergelar Doktor Falsafah kepada ibu bapanya.

“Emak selalu ada di sini…. Doa emak adalah punca kejayaan saya. Tanpa doa dan sokongan emak, tak mungkin saya kuat.

“Segala ujian yang dihadapi, hanya kami yang tahu. Betapa banyak air mata yang tertumpah kerana ‘kesakitan’ kami,” katanya.

Fitri berkata, ibunya biarpun tidak sihat, menguatkan semangat untuk datang melihat dirinya menerima ijazah Doktor Falsafah.

“Abah pula sabar menanti detik ini… Gelak tawa dan senda guraunya menghiburkan saya.

“Pada zaman belajar dahulu, abah periksa setiap buku dan kerja sekolah. Kasih dan ingatan ayah tak pernah saya lupakan,” katanya.

Terdahulu, juara program realiti Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua ini mengumumkan bakal menamatkan zaman solo selepas lapan tahun menduda.

Fitri yang melayangkan jemputan melalui WhatsApp, bagaimanapun, enggan menyatakan nama wanita yang bakal menjadi suri hidupnya.

Jika selama ini, Fitri mengaku trauma dan belum bersedia bergelar suami, kehadiran wanita berkenaan mengubah segala-galanya.

Ditanya kenapa terlalu berahsia mengenai bakal isteri, Fitri memberitahu, ia adalah permintaan keluarga.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");