Berita Hari Ini

Hadi Sokong Inisiatif Kerajaan Cari Penyelesaian Kesejahteraan Ummah Sedunia

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang menyokong inisiatif kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian ke arah kesejahteraan ummah sedunia dalam Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pihak kerajaan kerana menjadi tuan rumah dalam penganjuran sidang kemuncak itu selain berjaya menjemput beberapa pemimpin Islam ke tanah air.

“Bagi saya mengadakan persidangan seperti ini untuk berada di Asia Tenggara adalah satu langkah yang baik.

“Ini sebagai satu langkah permulaan kerjasama untuk memajukan negara-negara umat Islam dan menyelesaikan masalah mereka di peringkat awal,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pelancaran sidang kemuncak itu di ibu negara hari ini.

Ditanya tentang kesesuaian program yang dianjurkan sepanjang forum pada Sidang Kemuncak KL, beliau berkata keseluruhan topik perbincangan sangat menarik termasuk politik dan kerjasama dalam kalangan negara Islam bagi mencapai kemajuan sains, teknologi dan ekonomi.

“Bukan sahaja isu politik yang banyak diperkatakan, ia tentang kerjasama negara-negara Islam untuk membangun bersama dari segi kemajuan sains, teknologi dan ekonomi pada masa kini,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin melihat Sidang Kemuncak KL sebagai satu permulaan dalam usaha mengangkat semula martabat umat Islam.

Namun, beliau berharap ia tidak bersifat separuh jalan sebaliknya usaha berterusan menyelesaikan krisis umat Islam yang semakin hari semakin mendesak.

“Saya juga melihat tidak sepatutnya mana-mana negara mencurigai hal ini, sepatutnya semua negara Islam menyokong usaha ini dalam mengangkat martabat umat Islam sendiri,” katanya.

Mohd Asri turut menyokong usul Presiden Iran Hassan Rouhani supaya dana Sidang Kemuncak KL diwujudkan bagi membiayai kerjasama teknologi antara negara-negara Islam yang katanya mampu mengurangkan kebergantungan negara-negara Islam kepada pihak lain.

Beliau berkata dana seumpama itu juga bukan hanya boleh diwujudkan dalam bidang teknologi tetapi juga semua bidang lain supaya blok Islam dilihat sebagai blok yang terhormat.– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");