Panasnya Hari Ini

Najib Rela Sumpah Laknat 1MDB Juga

Selepas ‘dicabar’ beberapa kali, hari ini Najib Razak menyatakan kesanggupannya untuk melakukan satu sumpah laknat bagi menafikan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Mengumumkan perkara itu petang ini, Najib berkata beliau akan melakukan sumpah laknat tersebut di masjid – yang tidak ditentukan setakat ini – dan mengajak veteran DAP, Lim Kit Siang, untuk menyertainya.

Namun orang ramai mungkin tidak dapat menyaksikan majlis sumpah laknat 1MDB itu dalam tempoh terdekat kerana menurut Najib, ia akan dilakukan apabila kes mahkamahnya selesai.

“Adakah saya bersedia melafazkan sumpah laknat untuk kes 1MDB? Ya juga.

“Tetapi peguam beritahu, bahawa saya sudah pun mengangkat sumpah dalam kes ini (1MDB). Sebab itu, saya masih di tengah memberi kenyataan bersumpah di mahkamah.

“Selepas kes selesai, saya ingin mengajak Kit Siang ke masjid di mana saya akan melakukan sumpah laknat untuk 1MDB,” katanya.

Sumpah laknat ialah perakuan oleh seseorang – tetapi lazimnya dilakukan dua orang atau lebih – untuk menafikan tuduhan yang dikenakan ke atasnya dan berserah kepada Allah bagi menunjukkan siapa yang berdusta.

Nak belanja minum kopi

Melalui lafaz seseorang yang bersumpah laknat – atau dikenali juga sebagai muhabalah – meminta kepada Allah menjatuhkan laknat atau azab kepada pihak yang berdusta.

Sebelum ini Najib menyatakan cadangannya untuk bersumpah di Masjid Kampung Baru esok bagi menafikan beliau memberi arahan membunuh Altantuya Shaaribuu seperti didakwa bekas pegawai polis yang kini menunggu tali gantung, Azilah Hadri.

Ekoran kenyataan dibuatnya, beberapa pihak mencadangkan agar Najib turut melakukan sumpah laknat bagi menafikan dakwaan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) bahawa beliau ada menerima habuan dalam skandal 1MDB.

Selain Lim, turut mencadangkan hal itu ialah Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir.

Untuk rekod ketika ini Najib sedang berdepan dengan lebih 40 tuduhan salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.

Perbicaraan kes itu – termasuk kemungkinan proses rayuan – dijangka boleh mengambil masa sehingga bertahun-tahun.

Kata Najib apabila kesnya selesai nanti beliau akan membuat sumpah laknat sekali lagi dan Lim boleh menunggu di luar masjid semasa ia berlangsung.

“Selepas itu, saya nak belanja (Lim) Kit Siang minum kopi supaya saya boleh tanya soalan-soalan dalam debat yang Kit Siang lari diri awal tahun ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");