Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Usul Tambun Dijadikan Kawasan Pertama Jalankan Projek Rintis AADK Di Perak

IPOH: Kerajaan Perak mencadangkan agar kawasan Tambun dapat dimasukkan ke dalam senarai pelaksanaan projek rintis yang telah dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ke seluruh negara bermula Julai lalu.

Projek rintis itu bertujuan menangani masalah penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial yang menyasarkan 12 kawasan berisiko tinggi di seluruh negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pelaksanaan projek rintis itu akan dilakukan secara menyeluruh yang meliputi kawasan-kawasan perumahan dan kampung di Tambun.

Namun katanya walaupun Tambun dipilih sebagai lokasi pertama di Perak namun usaha membanteras jenayah tersebut itu tetap dijalankan ke seluruh daerah.

“Saya telah memberi arahan kepada semua agensi dan jabatan kerajaan agar dalam mereka mengadakan sebarang bentuk program, mesej tentang menangani usaha penyalahgunaan dadah harus diterapkan.

“Selain itu juga, saya juga menyeru pihak korporat atau swasta untuk sentiasa bekerjasama dengan AADK. Saya menggalakkan agar mereka dapat turut melibatkan AADK dalam setiap program-program tanggungjawab sosial korporat mereka (CSR),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata antara 12 kawasan yang sedang terlibat dalam projek rintis ini ialah termasuk di Langkawi, Lubuk Merbau dan Kuala Kedah di Kedah; serta beberapa kawasan di Selangor, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur.

Menurut beliau, projek rintis fasa pertama yang telah bermula pada Julai akan berakhir pada bulan ini dan ia akan diteruskan selama enam bulan lagi.

Tambahnya AADK kini sedang memuktamadkan kawasan-kawasan berisiko baharu agar projek yang sama dapat diperluaskan.

“Perbezaan projek rintis ini dengan program lain ialah projek ini kita memberi fokus kepada punca sebenar masalah penyalahgunaan dadah ini.

“Misalnya masalah ponteng sekolah yang boleh menyebabkan pelajar akan terjebak kepada jenayah ini. Kita akan dapatkan penjelasan daripada pegawai pendidikan untuk kita mencari penyelesaian bagi mengekang perkara ini,” katanya.

Selain itu ujarnya projek rintis tersebut akan menyasarkan golongan remaja serta ibu bapa yang mana menurutnya 40 peratus daripada kesemua punca penyalahgunaan dadah adalah disebabkan pengabaian ibu pada yang seterusnya mendorong kepada pengaruh buruk rakan sebaya.

“Projek rintis ini dilaksanakan bagi mencari model untuk kita laksanakan ke seluruh negara pada masa akan datang mulai tahun 2021,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");