Berita Hari Ini

Kes LTTE: Dengar Permohonan Ikat Jamin Pada 16 Disember

MELAKA: Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini, menetapkan 16 Disember ini untuk mendengar permohonan membenarkan ikat jamin bagi tiga individu dipercayai terbabit menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), November tahun lalu.

Memetik laporan BH Online, mereka termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu ADUN Gadek merangkap Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan, 34 dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60 selain Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), S Chandru, 38.

Hakim Elesabet Paya Wan, membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan tiga notis usul dibawa peguam Damien Yeo Shen Li yang mewakili ketiga-tiga tertuduh.

Keputusan itu dibuat sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan afidavit balasan esok terhadap tiga notis usul berkenaan serta mendengar hujahan penuh pada 16 Disember depan iaitu Isnin.

Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos.

Terdahulu, Damien memohon mahkamah menetapkan Jumaat ini sebagai tarikh pendengaran hujahan balas terhadap tiga notis usul terbabit yang dikemukakan masing-masing pada 4 dan 9 Disember lalu.

Media sebelum ini melaporkan, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Hakim Rozina Ayob, memutuskan terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi, 1 November lalu.

Mahkamah itu kemudian membenarkan permohonan kesemua 12 individu yang ditahan di bawah SOSMA itu untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Selain tiga individu itu, mereka yang lain ialah pemandu teksi V Balamurugan, 37; penghantar surat, S Teeran, 38; peniaga besi buruk A Kalaimughilan, 28; juruteknik S Arivainthan, 27; penjaga stor S Thanagaraj, 26; pengawal keselamatan M Pumugan, 29; seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52; ahli DAP, V Suresh Kumar, 43; dan peniaga, B Subramaniam, 57.

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri pada 29 dan 31 Oktober lalu atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Mahkamah Sesyen Seremban kemudian turut membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE terhadap Gunasekaran, pada 2 November lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");