Berita Hari Ini

Kes Polio, Golongan Tolak Vaksin Harus Insaf, Kata Pakar

MELAKA: Golongan menolak vaksin, terutama ibu bapa yang enggan membenarkan anak mereka diberi suntikan vaksin imunisasi, seharusnya insaf dengan kes polio baru-baru ini yang hanya boleh dicegah dengan vaksin sebagai pelindung kepada nyawa. terutama kanak-kanak.

Perunding pakar pediatrik dan ahli imunologi Dr Musa Mohd Nordin berkata, ini kerana polio merupakan penyakit amat berbahaya apabila 1 daripada 200 mereka yang dijangkiti akan lumpuh seluruh badan, manakala 5 hingga 10% dijangkiti meninggal dunia.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, polio merupakan penyakit yang amat mudah berjangkit serta merebak kesan daripada najis, lendir, makanan, sistem sanitasi dan persekitaran tidak bersih.

“Tiada penawar untuk menyembuhkan penyakit polio ini ditemui hingga ke hari ini, tetapi polio boleh dicegah dengan vaksin yang telah lama terbukti selamat dan berkesan.

“Polio ini suatu penyakit yang amat serius, maka pastikan anda dapat imunisasi yang lengkap dan bagi mereka menolak vaksin saya harap ini jadi suatu keinsafan buat mereka,” katanya.

Pada 6 Dis lepas seorang bayi lelaki berusia 3 bulan dari Tuaran, Sabah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sebuah hospital selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), merupakan kes polio pertama setelah Malaysia diisytiharkan bebas penyakit itu 27 tahun lepas.

Menurut Jadual Imunisasi Kebangsaan Malaysia, bayi perlu menerima vaksin polio tidak aktif (IPV) pada usia 2 bulan, 3 bulan dan 5 bulan. Bayi itu juga perlu diberi dos tambahan apabila mencapai usia 18 bulan.

Dr Musa berkata, tahap imunisasi bagi sesebuah komuniti mencegah penyakit dengan berkesan adalah 95% dan menurutnya Kementerian Kesihatan serta semua pihak terlibat telah melaksana langkah imunisasi membanggakan apabila negara ini melebihi 96% tahap imunisasi nasional.

Bagaimanapun beliau berkata, apa yang membimbangkan adalah kegagalan sesetengah komuniti setempat di negara ini, terutama di kawasan pedalaman memperoleh vaksin antaranya akibat kurang pengetahuan seterusnya gagal mencapai tahap imunisasi berkesan 95% itu.

Media sebelum ini turut melaporkan siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak dijangkiti polio itu mendapati 23 daripada 199 orang berumur antara 2 bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio, menunjukkan hanya 88.4% menerima vaksin polio dalam kumpulan itu memetik FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");