Berita Hari Ini

Kontraktor Guna Penyata Bank Palsu Ditamat Kontrak

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menamatkan perkhidmatan sebahagian kontraktor Bekalan Makanan Bermasak (BMB), selepas didapati mengemukakan penyata bank palsu ketika menyertai tender bagi kontrak bermula 1 Januari 2019.

Dalam satu kenyataan hari ini, laporan polis turut dibuat berhubung perkara itu bagi membolehkan kes berkenaan disiasat dengan lebih lanjut.

Perkara itu dikesan ketika kementerian melancarkan gerak kerja menyemak penyata bank semua kontraktor yang berjaya, susulan dakwaan ada petender mengemukakan penyata bank palsu ketika menyertai tender terbabit.

“Kementerian menghadapi kesukaran membuat pengesahan kesahihan penyata bank berikutan bilangan petender yang terlalu banyak, sekali gus tempoh masa diperlukan bagi menentusahkan akaun petender dengan pihak bank.

“Tempoh diperlukan untuk memastikan pemilik syarikat yang melepasi syarat teknikal bukan dalam kalangan pemilik yang syarikatnya disenaraihitamkan atau bermasalah.

“Kementerian tidak bertolak-ansur dalam memastikan tiada sesiapa yang boleh memanipulasi proses perolehan,” jelas kenyataan itu, hari ini, lapor BH Online.

Kementerian Pendidikan menggunakan sistem ePerolehan sepenuhnya bagi perolehan bekalan dan perkhidmatan bukan perunding bermula Julai 2018.

Mengulas lanjut, kementerian itu memaklumkan kontraktor BMB sedia ada dibenar untuk terus beroperasi dalam tempoh pemutihan, sehingga kontraktor baharu benar-benar disahkan layak dan bebas daripada unsur tidak berintegriti.

Bagi tender Perkhidmatan Kawalan keselamatan (PKK) dan Kebersihan Bangunan dan kawasan (KBK), kementerian memaklumkan ia akan diteruskan seperti dirancang memandangkan syarat teknikal yang terperinci telah dikuatkuasakan kepada kedua-dua tender perkhidmatan itu.

Kementerian itu turut menafikan dakwaan wujud tekanan daripada Pejabat Menteri Pendidikan, mahupun pihak lain dalam pelaksanaan perolehan, sebaliknya bertegas akan memastikan integriti proses perolehan sentiasa dipelihara dan ditambah baik.

Sementara itu, pelaksanaan tender PKK, KBK dan BMB bagi kontrak bermula 1 Januari 2020 kini dalam peringkat akhir dan akan dibentangkan kepada Mesyuarat Lembaga Perolehan KPM dipengerusikan tiga Timbalan Ketua Setiausaha kementerian.

“Pelaksanaan tender bagi kontrak bermula 1Januari 2020 mengandungi 1,652 tender merangkumi 858 PKK, 401 KBK serta 393 BMB. Lebih 275,000 petender menyertai tender berkenaan secara dalam talian,” katanya.

Pada 13 September lalu, Kementerian Pendidikan KPM membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kontraktor yang menggunakan penyata bank palsu dalam memperoleh 793 tender yang dikeluarkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");