Perak Hari Ini

‘Makan Durian Sampai Senak…’

KAMPAR: Sebanyak tiga tan durian pelbagai jenis yang terdapat dari daerah ini telah dibawa ke acara Kembara Durian yang diadakan di Sahom Valley Agro dan Eco Resort, dekat sini, pada Ahad.

Ketua penganjur program, Shariff Ali Jabad Ali berkata acara yang dianjurkan selama dua hari bermula semalam itu telah berjaya mencuri tumpuan lebih 2000 pengunjung.

Katanya bukan sahaja warga Perak malah mereka yang terdiri daripada warga Kuala Lumpur, Kedah, Johor serta Singapura turut tidak melepaskan peluang untuk merasai keenakan raja buah itu.

“Ini bukan penganjuran kali pertama cuma pada kali ini, kira menganjurkan ia bersama-sama dengan Persatuan Usahawan Sahom. Kita bersyukur acara sangat meriah.

“Ramai yang datang daripada warga tempatan dan luar. Sejak semalam, kumpulan-kumpulan motosikal berkuasa besar juga hadir ke program ini.

“Konsepnya ialah bayar RM20, makanlah ‘sampai senak’,” katanya yang juga pengusaha Sahom Valley Agro dan Eco Resort.

Selain itu katanya lagi, acara yang bertujuan merancakkan lagi sektor pelancongan di Sahom itu berkemungkinan akan diteruskan penganjuran pada masa akan datang.

“Selama ini orang ramai hanya mengenali durian Batu Kurau dan durian Selama. Jadi, tujuan kita menganjurkan program ini ialah sebagai mahu memperkenalkan durian Sahom kepada umum.

“Durian Sahom amat berbeza dengan durian yang lain khususnya dari segi warna dan keenakannya,” ujar Shariff Ali.

Tambah beliau, program tersebut turut dianjurkan sebagai tujuan mengetengahkan lagi produk-produk pelancongan yang berada di Sahom.

Katanya faktor alam semula jadi seperti sungai, gunung serta kolam-kolam menjadikan daerah tersebut sebagai salah satu kawasan yang menarik dan wajib dikunjungi pelancong.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Kembara Durian di Sahom Valley Agro dan Eco Resort, dekat sini, hari ini.

Difahamkan, selain acara memakan durian, terdapat acara lain yang juga berlangsung sama antaranya pertunjukan kebudayaan, cabutan bertuah, pameran dan gerai-gerai jualan serta sukan rakyat.

Dalam perkembangan sama, Shariff Ali berkata beberapa acara telah disusun pihaknya untuk dianjurkan di daerah ini bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Antaranya Temasya Agro, acara sukan lasak, karnival seni, acara larian Kampar Run dan banyak lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");