Perak Hari Ini

MAPS Akan Terus Beroperasi – MB Perak

IPOH: Kerajaan Perak memberi jaminan bahawa Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS) akan terus beroperasi dan tidak bukan sebaliknya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran di Perak, kerajaan negeri telah berusaha menyelesaikan pelbagai masalah kewangan yang dihadapi beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

Katanya ia termasuk masalah kewangan yang dihadapi Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) yang merupakan anak syarikat Perak Corp Bhd.

Jelasnya dalam tempoh kira-kira setahun, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai kaedah dalam memastikan taman tema tersebut terus beroperasi dan mampu menjana pendapatan bagi menampung kos operasi.

“Walau bagaimanapun beberapa bulan lalu jika tidak salah difahamkan syarikat gagal membayar kira-kira RM21 juta yang mana ia telah menyebabkan ‘default payment’.

“Seperti diumumkan pihak Affin Bank, mereka terpaksa mengambil tindakan dan kini syarikat telah dikenakan perintah penerimaan atau ‘receivership’ dan seterusnya akan dikenakan Nota Amalan 17 (PN17).

“Saya yakin pihak pengurusan ATP dan Perak Corp tentunya akan mencari jalan bagi berbincang dengan pihak bank bagi isu ini,” katanya ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Terdahulu sebuah portal berita melaporkan bahawa Affin Hwang Investment Bank Bhd (Affin Investment) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap MAPS.

Menurut laporan tersebut, Perak Corp berkata Affin Investment telah melantik Duar Tuan Kiat daripada Messrs Ernst & Young sebagai pengurus hartanah ATP.

Ahmad Faizal berkata perkara tersebut tidak akan mengganggu pengoperasian MAPS.

“Ia akan beroperasi seperti biasa. Kerana saya berpandangan pihak bank pun faham yang mana jika mereka mahukan pembayaran mereka, perniagaan harus berjalan. Jika tidak ia akan terus menyulitkan proses pembayaran semula,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");