Panasnya Hari Ini

Mohamad Sabu, Salahuddin Kekal Presiden Dan Timbalan Presiden AMANAH

KUALA LUMPUR: Menepati jangkaan, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengekalkan jawatan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) buat penggal kedua apabila dipilih dalam kalangan Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu bagi sesi 2019-2022.

Memetik laporan BH Online, mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang bermula jam 10.30 malam tadi, turut membuat keputusan mengekalkan jawatan Timbalan Presiden yang disandang Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Bagi jawatan Naib Presiden, tiga penyandang dikekalkan. Mereka ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Seorang lagi bekas Naib Presiden, Datuk Dr Hasan Bahrom tewas dalam pemilihan bagi memilih 27 Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Nasional malam tadi, manakala Datuk Husam Musa yang juga bekas Naib Presiden tidak bertanding dalam pemilihan itu.

Keputusan mesyuarat yang dipengerusikan Speaker baharu dipilih malam tadi, Yuhaizad Abdullah itu diumumkan Speaker, Onn Jaafar pagi ini.

Selain 27 AJK Pimpinan Nasional, mesyuarat turut disertai Ketua Wanita, Aiman Athirah Al Jundi; Ketua Pemuda, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim; Ketua Wanita Muda, Nurthaqaffah Nordin dan 14 Pengerusi negeri.

Pemilihan bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden dalam mesyuarat itu dibuat mengikut Fasal 16 perlembagaan parti dengan jawatan Presiden tidak lebih daripada tiga penggal.

Perlembagaan parti juga membolehkan Presiden melantik tidak lebih dua Naib Presiden, Setiausaha Agung, Timbalan Setiausaha Agung serta beberapa jawatan lain yang bertanggungjawab mentadbir urus parti.

Dijangkakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad akan menduduki satu daripada jawatan Naib Presiden secara lantikan jika diambil kira undi tertinggi dalam pemilihan 27 AJK Pimpinan Nasional daripada 87 calon yang layak bertanding.

Turut dijangkakan bekas Ketua Wanita, Dr Siti Mariah Mahmud akan dilantik ke jawatan itu berikutan desakan daripada Wanita untuk melihat wakil mereka berada di peringkat berkenaan.

Hak prerogatif Presiden juga membolehkan beliau melantik tambahan bilangan AJK Pimpinan Nasional bagi membentuk jawatankuasa tidak melebihi 49 orang dengan persetujuan majoriti AJK Pimpinan Nasional yang hadir mesyuarat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");