Perak Hari Ini

NGO Rai Murid Beri Pakaian Sekolah

KUALA KANGSAR- Seramai 65 orang murid sekolah rendah menerima sumbangan berupa kelengkapan sekolah dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai persediaan menjelang sesi persekolahan 2020.

Penaung Persatuan Pembangunan Pelancongan Kuala Kangsar, Siti Nurlizawati Narawi berkata program berkenaan dilaksanakan dengan memberi fokus kepada murid-murid sekolah yang tinggal di luar bandar iaitu di daerah Sungai Siput yang melibatkan tujuh kampung.

“Seramai 65 orang murid yang menerima bantuan terdiri dari Melayu, Cina serta India di mana anggaran pemberian bantuan kira-kira RM10,000.

“Jenis bantuan yang diberikan adalah kelengkapan persekolah iaitu dua pasang pakaian sekolah, dua pasang kasut, tiga pasang sarung kaki dan beg sekolah setiap seorang murid,” katanya kepada pemberita semasa Program Sumbangan Persekolahan (Luar Bandar) di Pusat Pakaian Hari Hari Cawangan Kuala Kangsar.

Berangkat semasa program, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah di mana baginda turut berkenan menyarungkan pakaian kepada murid-murid sebagai simbolik penyampaian sumbangan.

Dalam pada itu kata Siti Nurlizawati, perkara yang paling menarik adalah murid berkenaan diberi kebebasan untuk memilih pakaian yang mereka sukai di pusat pakaian tersebut.

“Selalunya kami akan ke rumah-rumah anak ini untuk memberikan pakaian, tetapi kali ini kami meraikan mereka supaya mereka dapat merasa memilih pakaian sendiri,” katanya.

Tambah beliau, program tersebut adalah pertama kali dijalankan di mana ianya sejajar dengan pembangunan pelancongan luar bandar dan Visit Malaysia 2020 di mana pada tahun hadapan mungkin bakal dijalankan dengan lebih giat.

Program berkenaan merupakan anjuranPersatuan Pembangunan Pelancongan Kuala Kangsar, Pusat Pakaian Hari Hari, SADC dan MPKK Kpg Jawang.

Sementara itu kata Pengurus Kawasan Kuala Kangsar, Noor Mastura Abdul Hamid, pihaknya begitu berbesar hati menerima kedatangan NGO serta murid sekolah tersebut di mana ia adalah pertama kali

“Kami harap program sebegini akan dijalankan setiap musim seperti cuti sekolah ataupun raya kerana pusat pakaian kami mempunyai jenama yang dikenali serta kualiti yang baik.

“Memandangkan Siti Nurlizawati adalah pelanggan tetap beliau juga ingin murid-murid ini mengenakan pakaian yang mempunyai kualiti yang baik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");