Berita Hari Ini

Penduduk Indonesia Kenang Tragedi Bencana Tsunami

BANDA ACEH: Ribuan penduduk membanjiri kubur besar di Aceh semalam bagi mengingati ulang tahun ke-15 tragedi tsunami pada 26 Disember 2004, antara bencana alam paling buruk dalam sejarah.

Menurut BH Online yang memetik AFP, di padang rumput di daerah Besar di Aceh, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 47,000 mangsa dikebumikan, anggota keluarga dan saudara berdoa, menabur bunga dan saling menenangkan sesama sendiri.

Antara mereka ialah Nurhayati, 65, yang kehilangan anak bongsu dalam bencana itu.

“Saya datang ke sini setiap tahun kerana amat merindui anak perempuan saya yang berusia 17 tahun, baru memulakan pengajian di kolej.

“Sudah 15 tahun tetapi sehingga kini, setiap kali saya melihat laut walaupun dalam televisyen, saya gementar dan berasa ombak besar akan datang tidak lama lagi,” katanya sambil menangis.

Hampir 170,000 maut di Aceh sahaja apabila gempa bumi bawah laut berukuran 9.1 melanda wilayah itu pada 26 Disember 2004, mencetuskan tsunami yang turut meragut 50,000 nyawa lagi di negara sekitar Lautan Hindi, malah sehingga ke Somalia.

Setengah juta lagi penduduk kehilangan kediaman dalam bencana yang memusnahkan sebahagian besar Aceh.

Muhammad Ikramullah berusia 13 tahun ketika tsunami berlaku, mengorbankan ibu bapa dan adik-adiknya.

Beliau hidup berpindah-randah, menetap bersama saudara dan rakan ibu bapanya, sehingga mampu berdikari.

“Saya masih trauma, saya tidak rasa mampu melupakan apa yang terjadi,” kata Muhammad yang kini berusia 28 tahun.

Mayat keluarganya tidak ditemui, tetapi seperti kebanyakan orang yang menziarahi pusara besar setiap tahun Muhammad cuma mahu berdoa untuk keluarga tersayang walaupun mayat mereka tidak dikebumikan di situ.

Beberapa selepas bencana berkenaan, masih ada mayat ditemui.

Pada 2018, mayat puluhan mangsa ditemui dalam kompleks perumahan yang baharu dibina.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");