Perak Hari Ini

Penipuan Dalam Talian: Polis Perak Cekup 18 Warga China Di Lahat

IPOH: Kegiatan aktiviti penipuan dalam talian yang beroperasi di sebuah taman perumahan di Lahat dekat sini, tumpas selepas premis mereka diserbu polis pada petang Khamis.

Dalam operasi itu, seramai 14 orang lelaki dan empat wanita yang kesemuanya warganegara China berumur 20an, telah ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata dalam serbuan itu, turut dirampas 46 buah telefon pintar, 16 komputer riba serta wang tunai yang kesemua berjumlah RM734.

“Daripada laporan pakar, siasatan menjurus kepada aktiviti perjudian atas talian yang mana mereka menyasarkan mangsa di warganegara China yang berada di China.

“Hasil siasatan juga mendapati modus operandi bayaran mereka dilakukan melalui aplikasi WeChat.

“Kita percaya aktiviti ini telah berjalan dalam dua minggu dan mungkin ia disebabkan serbuan-serbuan yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Akta Imigresen 1959/1963.

Sementara itu, tambah Razarudin, Polis Perak akan meneruskan usaha bagi membenteras jenayah berkaitan aktiviti penipuan atas talian yang menjadikan negeri ini sebagai tempat operasi.

“Kita akan pastikan bahawa tiada lagi kegiatan seperti ini berlaku di Perak. Kita akn lipatgandakan usaha risikan kita.

“Bukan sahaja di Ipoh, malah di lokasi lain seperti di daerah Manjung, Taiping dan lain-lain juga kita akan laksanakan.

“Walaupun kegiatan ini hanya menyasarkan warganegara China, kita tetap akan meneruskan usaha dan tindakan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ujian Menembak Bersempena Dengan Peringatan Hari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Ke-212 di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontijen Perak di sini, hari ini.

Ia turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Exco Kerajaan Negeri Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan pegawai dan anggota Polis Perak.

Terdahulu Ahmad Faizal ketika ditemui berkata, aktiviti dianjurkan Polis Perak itu amat disambut baik dalam usaha mengeratkan lagi hubungan antara pihak PDRM dengan penjawat-penjawat awam.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Polis Perak dalam usaha mereka membenteras jenayah demi keamanan serta keselesaan kehidupan rakyat di negeri ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");