Perak Hari Ini

Perak Sedia Bantu Wujudkan Majlis Perundingan e-Sukan di Utara

howard lee

IPOH — Kerajaan negeri Perak sedia membantu negeri-negeri di wilayah utara Semenanjung Malaysia, mewujudkan majlis perundingan sukan elektronik (e-Sukan) bagi memastikan pembangunan sukan itu dapat diperkasakan ke tahap terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak Howard Lee Chuan How berkata, majlis perundingan itu penting kerana akan menjadi satu platform kepada pihak terlibat membincangkan pelbagai cadangan, penambahbaikan dan hala tuju sukan itu di peringkat negeri masing-masing, dengan cara yang lebih sistematik.

“Di Perak, majlis perundingan ini telah kita wujudkan. Jadi, kita bersedia memberikan sokongan daripada pelbagai sudut, termasuk pandangan dan kerangka untuk pastikan setiap negeri di wilayah utara, seperti Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, wujudkan perkara sama.

“Ini amat penting kerana majlis perundingan merupakan tempat yang boleh digunakan kerajaan negeri untuk mendapatkan pelbagai input daripada persatuan, pemain industri dan atlet e-Sukan,” katanya di sidang media selepas merasmikan Kejohanan e-Sukan Utara Malaysia di taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS), di sini, hari ini.

Terdahulu, kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM18,000 itu, disertai 80 peserta dari Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Kedah, dengan menampilkan empat permainan e-Sukan iaitu Dota 2, Mobile Legends, PUBG Mobile dan FIFA 20.

Lee berkata setakat ini, idea untuk mewujudkan majlis perundingan itu telah dimaklumkan kepada negeri-negeri terlibat, dan ia mendapat respon balas yang positif.

Sementara itu, Presiden e-Sukan Kedah Muhammad Muzakkir Nur Mubin berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan dengan lebih mendalam bersama kerajaan negeri, bagi memastikan usaha mewujudkan majlis perundingan berkenaan, dapat direalisasikan.

“Insya-Allah, cadangan mewujudkan majlis perundangan itu tahun depan, cuma kita kena bincang dengan kerajaan negeri bagi mencari bagaimana kaedah untuk kita mewujudkannya,” katanya.

Katanya kewujudan majlis perundingan itu dilihat sebagai satu langkah tepat, kerana semua pihak berkepentingan boleh bergabung tenaga terutama dalam usaha mencari bakat-bakat baru, untuk diketengahkan dalam e-Sukan.

Manakala Presiden e-Sukan Pulau Pinang Mohamad Khir Bin Md Noor berkata kewujudan majlis perundingan itu akan memudahkan perbincangan berkenaan dasar, polisi dan eko-sistem e-Sukan itu, diselaraskan secara sistematik oleh semua pihak terlibat.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");