Berita Hari Ini

Presiden MCA Nasihat Dr M Henti Berbalah Dengan Negara Besar

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak boleh terus mengeluarkan kenyataan yang akan menyinggung negara lain sehingga menjejaskan Malaysia, kata Presiden MCA Wee Ka Siong.

Wee berkata, dunia hari ini berbeza dengan ketika tempoh pertama Mahathir sebagai perdana menteri, di mana beliau dilihat sebagai jurucakap negara dunia ketiga.

“Tidak dinafikan Mahathir adalah pemimpin yang banyak pengalaman, tetapi pada masa sama beliau terkenal dengan sikap suka bergaduh dengan kuasa besar dunia.

“Jika beliau terus bercakap sesuka hatinya, ia hanya menyinggung banyak negara besar lain dan pastinya ia akan memberi kesan kepada negara,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya.

Katanya lagi, Mahathir perlu mengelakkan perbalahan dengan negara besar dan memberi tumpuan untuk membangunkan ekonomi, lebih-lebih lagi dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global yang akan menjejaskan ekonomi negara.

Wee merujuk kepada kenyataan Mahathir baru-baru ini berkenaan undang-undang baru kewarganegaraan India, yang disifatkannya sebagai menafikan kewarganegaraan kepada sesetengah orang Islam.

Kenyataan itu disangkal oleh India menerusi kementerian hal ehwal luarnya, yang menyifatkan kenyataan Mahathir sebagai tidak tepat dan menggesa agar Malaysia tidak mengulas soal dalaman negaranya.

Pada 21 Disember lalu, kerajaan India dilaporkan memanggil duta besar Malaysia di negara itu bagi menyampaikan bantahan rasmi.

Isu itu beberapa bulan selepas Mahathir membangkitkan konflik di Kashmir dan Jammu ketika Perbahasan Umum pada Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) September lalu, yang turut dibantah India.

Wee turut membangkitkan kenyataan Mahathir berkenaan beberapa negara lain, antaranya apabila beliau berkata tentang “kolonialisme baru” ketika taklimat media bersama Perdana Menteri China Li Keqiang, ketika lawatannya ke Beijing pada Ogos tahun lalu, serta mempersoalkan isu jambatan bengkok dan harga air yang dijual kepada Singapura.

“Syukurlah… Mahathir tidak menyentuh tentang isu minoriti Uyghur di China dan tidak menyebabkan kita berterusan berbalah dengan China,” katanya lagi.

Kritik Trump, singgung Arab Saudi

Mengulas lanjut, Wee berkata tindakan menjemput pemimpin Iran dan Qatar ke Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 minggu ini telah menjejaskan hubungan diplomasi Malaysia dan Arab Saudi.

“Melihat keadaan ini, seolah-olah malapetaka diplomatik kita tiada penghujungnya,” katanya.

Untuk rekod, Iran dan Qatar merupakan seteru Arab Saudi dan negara itu sebelum ini mengatakan sidang itu bukan platform yang betul untuk membincangkan isu umat Islam.

Wee juga membangkitkan kenyataan Mahathir terhadap Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semalam, yang menurutnya pasti mengundang reaksi Amerika Syarikat.

Ketika sidang media selepas penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, Mahathir berkata beliau “kalau boleh” mahu mengenakan sekatan kepada Trump, ketika membangkitkan tindakan negara besar yang menurutnya membuat keputusan sehala ketika mengenakan sekatan dagangan kepada negara yang lebih kecil.

Ketika itu, Mahathir menjadikan Iran sebagai contoh, yang menurutnya Malaysia kehilangan peluang untuk berdagang dengan negara itu ketika ia dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat.

Bagi Wee, Malaysia harus mengekalkan hubungan dengan negara lain terutama apabila melihat keadaan semasa dunia.

“Hanya dengan mengekalkan hubungan diplomatik yang mesra dengan negara lain, kita boleh mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk negara kita.

“Jika Mahathir terus menyinggung lebih banyak negara lain, generasi muda kita mungkin perlu membayar harga untuk apa yang telah dilakukannya. Apa gunanya untuk menyelamatkan diri sendiri apabila kita sudah kehilangan kawan seluruh dunia?” soalnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");