Berita Hari Ini
Like

‘Perlekeh Ulama Benar Ibarat Masuk Jerat Syaitan’ – Nik Abduh Pertahan Mufti WP

December 26, 2019
432 Views
0 Comments
2 minutes read
‘Perlekeh Ulama Benar Ibarat Masuk Jerat Syaitan’ – Nik Abduh Pertahan Mufti WP

Anggota Jawatankuasa Pusat (PAS) Nik Abduh Nik Abdul Aziz hari ini membuat hantaran khusus di Facebook berhubung Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad.

Dalam hantaran ringkas itu, Nik Abduh menyifatkan Zulkifli sebagai mufti terbaik yang dikenalinya, dan memberi pringatan kepada mana-mana pihak yang memperlekehnya.

“Mufti Wilayah Persekutuan adalah antara mufti terbaik yang saya kenali. Ilmunya tinggi. Akhlaknya tinggi. Kesedarannya tinggi. Fatwa dan pandangan beliau adalah demi kebaikan umat. Salah dan silap adalah tanda manusiawi.

“Apabila anda memperlekeh para ulamak yang benar, anda memasuki jerat syaitan. Jauhi kecelakaan hidup dengan sentiasa bertaubat kepada Allah,” katanya hari ini.

Hantaran itu tidak merujuk sebarang isu secara khusus tetapi ia dibuat beberapa hari setelah Zulkifli menyatakan pandangannya berkenaan sumpah laknat dan kecaman yang diterimanya selepas itu.

 Pada 23 Disember lalu, Zulkifli berkata sumpah laknat tiada dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara “li’an”- iaitu apabila suami tidak dapat menghadirkan empat saksi selepas menyaksikan isterinya berzina.

Beliau juga berkata mubahalah adalah sumpah yang membabitkan perdebatan bagi menyokong hujah yang benar dan menolak hujah palsu.

Ia tidak menjadi tuntutan untuk sebarang kes yang masih berjalan di mahkamah, katanya.

Kenyataan itu dibuat tiga hari selepas bekas perdana menteri Najib Razak melafazkan sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru bagi menafikan tuduhan yang terkandung dalam perakuan berkanun (SD) Azilah Hadri yang mengaitkannya dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Bersumpah bahawa beliau tidak pernah berjumpa atau kenal Altantuya, Najib berkata beliau akan mendapat laknat Allah jika berdusta, tetapi jika dia benar, pihak yang memfitnahnya akan dilaknat Allah, sekiranya mereka tidak bertaubat.

Di ruang komen hantaran Facebook Zulkifli yang memuat naik kenyataan itu, terdapat banyak komen berunsur sindiran terhadapnya.

Antaranya berbunyi “Bila sesama Muslim kondem.. busuk hati hanya Tuhan saja yang tahu..” Malah komen bernada sindiran terhadap Zulkifli masih boleh dilihat di beberapa hantaran mutakhir yang lain.

Di Twitter pula, blogger Raja Petra Raja Petra Kamaruddin mendakwa mufti “terpaksa ikut arahan pemimpin politik” kerana mereka bekerja untuk gaji.

Malah gambar Zulkifli dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut disebar sejumlah laman Facebook dan diiringi dengan kata sindiran terhadapnya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.