Perak Hari Ini

30 Tahun Menanti Akhirnya PH Bantu

BATU GAJAH: Penantian selama 30 tahun bagi 124 keluarga antaranya berasal dari Kampung Chekkadi dan Kampung Muhibbah menemui titik noktah apabila menerima notis 5 A bagi penempatan semula di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bemban, dekat sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sepanjang tempoh itu kebanyakan mereka terpaksa menumpang di rumah saudara-mara dan tidak kurang juga berhijrah ke tempat lain.

Katanya, sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih pentadbiran di Perak, kerajaan negeri berusaha dalam menyelesaikan kemelut tersebut demi memberi keadilan sosial dan pembelaan nasib rakyat tempatan.

“Mereka ini datang daripada satu kawasan setinggan di Buntong. Ada yang menantikan perkara ini hampir 30 ke 35 tahun.

“Hari ini kerajaan negeri telah berjaya menyelesaikan isu tanah ini dan mereka mendapat Notis 5 A untuk hak milik tanah masing-masing,” katanya.

Ujar beliau, kerajaan negeri telah mewartakan kira-kira 10.714 hektar di Mukim Sungai Terap bagi RPT Bemban dan baki kawasan seluas kira-kira 55.368 hektar diluluskan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak (LPHP) sebagai Skim Pembangunan Rumah Mampu Milik.

“Hasil beberapa siri bancian dan temuduga oleh Pejabat Daerah Kinta, seramai 142 orang peserta telah diluluskan dan seramai 124 peserta akan menerima Notis 5A,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Notis 5A RPT Bemban dan Majlis Penyerahan Hak Milik RPT Papan kepada 32 keluarga di Arena Square, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong serta Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

Rata-rata penerima yang ditemui berasa gembira dan mengucapkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas usaha menyelesaikan kemelut yang dihadapi mereka selama ini.

S. Jayamary, 67 berkata keluarganya berasa bertuah apabila bukan sahaja dirinya malah menantunya juga berjaya memperolehi notis tanah yang sama.

“Sambutan Krismas tahun ini pasti bermakna buat keluarga kami apabila saya dan menantu dapat tinggal di kawasan baharu ini,” katanya.

Sementara itu, V Santhi, 66 yang berasal daripada Kampung Chekkadi di Buntong berkata keluarganya telah menghadapi pelbagai cabaran bagi menuntut hak penempatan di kawasan ini selama tempoh 30 tahun.

“Kami menghadapi pelbagai cabaran. Antaranya semasa kita berkempen untuk isu ini, ibu saya pernah diheret ke balai polis. Tetapi hari ini, ianya sudah pasti memberikan sinar baharu kepada keluarga kami,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");