Membawang Hari Ini

‘Beri Semangat Agar Balqis Bangkit Semula’

KUALA LUMPUR: Nabila Huda berharap orang ramai terus memberi kata-kata semangat kepada Puteri Balqis untuk bangkit selepas diuji dengan penyakit berkaitan jantung, dua tahun lalu.

Nabila berkata, Balqis sangat berbakat dan skil lakonan remaja berusia 13 itu, jarang ditemui dalam kalangan kelompok seusia.

“Saya sedih melihat Balqis dalam hidup begitu. Bukannya kita tidak tahu, Balqis pelakon berbakat. Saya percaya pasti banyak syarikat produksi yang mahu menawarkan dia berlakon.

“Siapa yang tidak mahu memanggil pelakon berbakat seperti Balqis? Jarang kita tengok pelakon cilik sehebat dirinya.

“Mungkin ketika sakit, Balqis agak senyap. Jadi, tiada ‘update’ atau perkembangan mengenai dirinya. Saya fikir mungkin ada yang menghulurkan bantuan, tetapi keadaan tidak mengizinkan.

“Saya harap semua orang beri semangat untuk Balqis terus bangkit… Dia adalah pelakon yang mempunyai masa hadapan yang cerah,” katanya kepada BH Online.

Semalam, kehidupan Puteri Balqis yang pernah meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Televisyen Asia Ke-19, dilaporkan terus dilanda dugaan hingga pernah mengikat perut selama beberapa hari.

Namun, Puteri Balqis yang meluahkan perasaan dalam sedutan promosi program Bersamamu terbitan TV3 di YouTube, bersyukur diberi peluang untuk kembali mengingati Yang Maha Kuasa.

Pengakuan dalam rakaman video hampir dua minit itu mengundang sebak, malah peminat tidak menyangka bintang yang disanjung masyarakat itu hidup sukar.

Turut dipaparkan, Puteri Balqis menaiki pengangkutan awam bersama ibunya, Norashikin Mohamad Aziz, untuk mendapatkan rawatan di klinik.

Malah, semangat remaja ini ampuh apabila menghasilkan buku puisi berjudul 38 Poems of Puteri Balqis yang dijual di sekitar bandaraya ini.

Nabila berkata, dia berganding dengan Puteri Balqis ketika melakonkan watak ibu dan anak dalam drama rantaian Akulah Baqis menerusi slot Akasia terbitan TV3 pada 2015.

Nabila bukan sekadar menganggap Balqis seperti anaknya sendiri, malah mengambil berat mengenai pelakon cilik itu.

Dua tahun lalu, Nabila bersama rakan artis seperti Sharifah Sakinah dan Jihan Muse mengadakan jualan barangan terpakai atau ‘preloved’ bagi membantu Balqis.

“Kami berjaya mengumpul RM2,500 dan diserahkan kepada Balqis secara berperingkat. Kami tidak serahkan secara penuh kerana mahu memastikan Balqis ada wang setiap bulan,” katanya.

Nabila bagaimanapun mengaku sudah agak lama tidak berhubungan dengan Balqis.

“Saya fikir mungkin menjual buku adalah cara dia berusaha dan saya menghormatinya.

“Namun, kalau mahu diikutkan, bukannya Balqis tiada bakat, apatah lagi masih muda dan ada hadapan yang cerah. Banyak perkara boleh dilakukannya.

“Saya tidak mahu Balqis membuang masa remajanya. Saya berdoa agar Balqis mendapat kebahagiaan dalam hidup dan sukses dalam apa sahaja perkara diusahakannya,” katanya.

Kisah Puteri Balqis boleh ditonton dalam program Bersamamu di TV3, pada jam 6.30 petang ini memetik BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");