Berita Hari Ini

Coronavirus: Kementerian Pendidikan Tangguh Pendaftaran Pelajar China

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menangguhkan sementara pendaftaran pelajar dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta kawasan sekitarnya di semua institusi pendidikan di negara ini, berikutan penularan coronavirus (2019-nCoV).

Menurut BH Online, dalam kenyataan malam ini, penangguhan itu dibuat sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Sementara itu pelajar dari wilayah lain di negara China dibenarkan mendaftar untuk belajar di Malaysia dengan pemantauan rapi daripada institusi pendidikan yang terbabit.

Kementerian itu turut menasihati semua institusi pendidikan di Malaysia mengambil langkah pencegahan, termasuk bagi warga pendidik dan pelajar warganegara dan bukan warganegara yang akan keluar dari negara China, menangguhkan perjalanan mereka ke Malaysia, sekiranya saringan keluar menunjukkan gejala penyakit 2019-nCoV.

“Semua warga pendidik dan pelajar warganegara dan bukan warganegara yang tiba dari negara China perlu melalui saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara dan mematuhi arahan selanjutnya yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Pihak pentadbiran juga perli memantau status kesihatan semua warga pendidik dan pentadbir serta pelajar yang membuat lawatan dari negara China melalui institusi pendidikan masing-masing,” katanya.

Kementerian Pendidikan akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan semua agensi terbabit dalam memastikan kesihatan warga pendidik, pentadbir dan pelajar di semua institusi pendidikan diberi perhatian dalam menangani jangkitan penyakit itu.

Isnin lalu, kerajaan mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta kawasan sekitarnya berkuat kuasa serta-merta.

Sehingga kini, jumlah kes yang disahkan positif coronavirus di negara ini ialah lapan, yang semuanya membabitkan warganegara China.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");