Sukan Hari Ini

FAM Pertimbang Tarik Lesen Kelab

PASUKAN yang berdepan masalah tunggakan gaji berdepan risiko penarikan semula lesen kelab kebangsaan selain dikenakan pelbagai sekatan pada saingan Liga Malaysia musim ini.

Itu amaran yang diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas melihat terdapat beberapa pasukan Liga Malaysia masih lagi dijangkiti penyakit lama – gagal menjelaskan tunggakan gaji pemain.

Menurut Harian Metro, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pembentangan suku kedua bajet dan kewangan baru-baru ini akan menjadi penentu kepada nasib pasukan Liga Malaysia yang gagal menyelesaikan beberapa isu termasuk hutang.

Beliau berkata, nasib beberapa pasukan dan kelab akan diketahui selewat-lewatnya pertengahan bulan ini selepas Jawatankuasa Status Pemain mengadakan semakan dan pemeriksaan dokumen kewangan terbabit.

“Sebelum ini saya sudah ingatkan kepada pengurusan pasukan bahawa lesen kebangsaan dan AFC 2020 boleh ditarik balik jika mereka gagal mengemukakan dokumen kewangan yang kukuh untuk suku kedua.

“Oleh itu, mereka belum lagi selamat dan mungkin juga boleh dikenakan hukuman pemotongan mata atau sekatan pembelian pemain sebagai peringatan supaya tidak melakukan kesalahan sama. FAM tidak lepas tangan namun perlu mencari penyelesaian terbaik dengan memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Stuart berkata, pihaknya tidak mahu mengambil langkah terburu-buru dengan menyingkirkan pasukan yang gagal menjelaskan sepenuhnya tunggakan gaji atau hutang kerana ia akan memberi kesan lebih buruk.

“Bayangkan apabila pasukan bola sepak ditutup sudah pasti ia akan menjejaskan kira-kira 30 individu termasuk pemain dan barisan kejurulatihan sekali gus menimbulkan masalah lain.

“Ketika ini, FAM berusaha mencari penyelesaian terbaik dan sekurang-kurangnya hutang dibayar secara ansuran kerana kaedah itu lebih baik daripada pemain langsung tidak mendapat sebarang bayaran,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");