Perak Hari Ini

Himpunan Solidariti Untuk Zuraida Kecoh

IPOH – Perhimpunan solidariti terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin di hadapan Pejabat PKR Perak, di sini bertukar kecoh apabila berlaku pertembungan dua kumpulan penyokong itu hari ini.

Kedua-dua kumpulan yang dihadiri hampir 500 ahli parti itu saling cabar-mencabar selain diiringi laungan kata-kata ‘Hidup Zuraida’ dan ‘Hidup Kak Zu’ sebelum ia dibalas dengan laungan ‘pecat Zuraida’ dan ‘pecat pengkhianat’.

Pada jam 12.30 tengah hari, hampir 300 ahli PKR yang diketuai Naib Pengerusi PKR Perak, Baldip Singh telah berhimpun di perkarangan pejabat parti.

Mereka yang hadir turut membawa pelbagai plakad dan gegantung yang mendesak Zuraida melepaskan jawatan Naib Presiden PKR Nasional.

Selang 40 minit selepas itu, satu lagi kumpulan yang disertai 200 ahli parti yang menyokong kepimpinan Zuraida hadir pula berhimpun di kawasan sama.

Jarak antara dua kumpulan itu sekitar 5 meter dan dikawal rapi pihak polis.

Dianggarkan ketegangan yang berlarutan sekitar 5 minit itu masih terkawal serta tidak berlaku sebarang bentuk provokasi atau kejadian yang tidak diingini.

Himpunan kumpulan yang menyokong Zuraida diketuai Ketua Cabang Parit Buntar, Datuk Abdul Yunus Jamhari yang juga Exco Kerajaan Perak.

Selain menyatakan sokongan kepimpinan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, mereka turut mendesak agar layanan yang adil diberikan kepada Zuraida atas jasa dan pengorbanannya bersama parti sejak 20 tahun lalu.

Difahamkan, perhimpunan solidariti dijalankan secara serentak di seluruh negara, hari ini iaitu ketika Zuraida hadir ke ibu pejabat parti bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh lembaga disiplin.

 

Lembaga Disiplin PKR sebelum ini dilaporkan memulakan siasatan terhadap pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti termasuk Zuraida.

Ia dipercayai ada hubungan dengan ucapan pada majlis makan malam selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Disember lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");