Perak Hari Ini

Ibu Sifatkan Anak Bertuah Lahir 1 Januari 2020

IPOH: Selain menzahirkan rasa syukur, Aminah Bhanu Mohd Kahalidullah turut menyifatkan kelahiran anaknya pada tarikh 1 Januari 2020 sebagai satu kelahiran yang bertuah.

Katanya bayi perempuan seberat 3.66 kilogram (kg) itu merupakan anak kelimanya hasil perkahwinan bersama Harun Ar Rashid.

Menurutnya, selain bayi yang akan dinamakan ‘Nur Aina Aisyah’ itu, anak keempatnya turut mempunyai tarikh kelahiran yang unik iaitu 10.10 atau 10 Oktober 2016.

“Pada mulanya saya tidak menyangka yang akan melahirkan bayi ini pada tarikh 1 Januari 2020. Ia kerana tarikh bersalin pada 2 Januari.

“Walau bagaimanapun, saya menjangkakan akan melahirkan bayi ini lebih awal. Namun, saya tidak menjangkakan tarikh ini yang dia akan lahir. Ahli keluarga sangat gembira dengan kelahiran anak saya ini,” katanya.

Aminah Bhanu merupakan antara 14 ibu yang selamat melahirkan bayi masing-masing pada tarikh 1 Januari 2020 di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dekat sini.

Sehingga jam 10 pagi tadi, HRPB menerima kelahiran masing-masing lapan bayi lelaki dan enam bayi perempuan.

Sementara itu, Nurizzati Syazwani Abdul Halim ketika ditemui berkata tarikh 1 Januari 2020 amat bermakna buat dirinya apabila selamat melahirkan anak dan cucu sulung buat keluarganya serta keluarga suami.

Katanya tarikh bersalin sepatutnya pada 4 Januari namun atas permintaan keluarga, bayi perempuan seberat 2.99 kg itu selamat dilahirkan awal pagi tadi.

Menurutnya anaknya hasil perkongsian hidup dengan Muhammad Farhan Mat Kamil itu turut berkongsi tarikh lahir yang sama dengan ibu mertuanya Rahimah Ab Rahman, 56.

“Tarikh lahir 1 Januari ini berkongsi dengan ibu mertua saya. Beliau dan ahli keluarga sangat gembira kerana ini adalah cucu sulung untuk keluarga saya dan suami,” katanya.

Pada masa sama, Yip Mei Wan berkata dia dan suami, Wong Heng Thong, turut merasa gembira apabila selamat melahirkan anak sulung mereka pada tarikh hari ini.

“Saya berasa sangat gembira apabila dapat melahirkan bayi pada tarikh tahun baru ini. Selain itu kami sudah bercadang untuk menamakan dia sebagai ‘Tian Tian’ atau maksudnya ‘manis’,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");