Sukan Hari Ini
Like

KBS Salur Dana Kepada Hafizh Syahrin

January 10, 2020
388 Views
0 Comments
2 minutes read
KBS Salur Dana Kepada Hafizh Syahrin

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi bantuan kewangan kepada pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang masih bergelut untuk mendapatkan penaja utama bagi menghadapi saingan MotoGP Dunia 2020 yang bermula 8 Mac ini di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan tertinggi KBS berhubung jumlah dana yang akan disalurkan daripada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) kepada Hafizh Syahrin.

Pelumba berusia 25 tahun itu terpaksa kembali ke Moto2 bersama pasukan Angel Nieto pada musim 2020 selepas dua musim beraksi di kelas perdana, MotoGP.

“Saya akan membantu sebaik mungkin kerana sebelum ini (fokus kita) untuk mencari penaja dalam kalangan syarikat korporat. Kita masih menunggu permohonan daripada pihak Hafizh Syahrin dan kita akan terus mencari jalan untuk membantu beliau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu kepada staf KBS, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, Syed Saddiq turut menyeru syarikat korporat untuk tampil membantu bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung pelumba kelahiran Selangor itu dalam menghadapi saingan Moto2 musim ini.

Sebelum ini, syarikat petroleum negara iaitu PETRONAS mengumumkan yang mereka tidak lagi menaja Hafizh Syahrin untuk beraksi dalam kelas Moto2 tahun ini, dan hanya akan menyalurkan tajaan kepada pembangunan akar umbi antaranya pasukan SIC bagi kelas Moto3.

Pasukan Angel Nieto dilaporkan hanya bersetuju membantu Hafizh Syahrin untuk mendapatkan tempat dalam perlumbaan Moto2 sahaja dan pelumba itu perlu mendapatkan penaja utama bagi menampung beberapa keperluan lain termasuk gaji, tiket penerbangan, hotel dan kos latihan pengangkutan. – BERNAMA

Komen & Pendapat

Comments are closed.