Berita Hari Ini

Langkawi Tapak Perintis Teknologi 5G

LANGKAWI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam melawat lokasi projek demonstrasi 5G di Hospital Sultanah Maliha, di sini yang menjalankan percubaan teknologi itu dalam sektor perubatan.

Beliau diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Dr Mahathir yang tiba di hospital itu kira-kira jam 3.15 petang meluangkan masa lebih 30 minit untuk melihat dua demonstrasi penggunaan teknologi generasi kelima itu, iaitu konsultasi perubatan jarak jauh dan kemudahan ambulans yang dilengkapi rangkaian itu.

Bagi projek ambulans yang mendapat kerjasama syarikat telekomunikasi Digi, pasukan perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan menunjukkan bagaimana teknologi itu membolehkan pemindahan data secara nyata yang mempercepatkan diagnosis menggunakan elektrokardiogram (ECG) dan imbasan ultrabunyi dari dalam ambulans.

Perdana Menteri kemudian menyaksikan demonstrasi bagaimana konsultasi perubatan jarak jauh dilakukan pengamal perubatan hospital itu dengan pegawai perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star bagi merawat mangsa nahas jalan raya.

Teknologi 5G dalam teleperubatan dijayakan oleh syarikat telekomuniksi U-mobile dan peranti teleperubatan MedCom.

Pengkomersialan teknologi 5G dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini dan ia bukan sahaja akan mentakrifkan semula ketersambungan di negara ini tetapi akan membawa kesan positif kepada ekonomi serta memartabatkan Malaysia sebagai antara perintis 5G di rantau ASEAN.

Teknologi itu sedang menjalani projek demonstrasi di Langkawi dan akan dilancarkan Perdana Menteri, malam ini. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");