Panasnya Hari Ini

Lebih RM3 Juta Disita SPRM Dari Umno Pahang, PBRS Jadi Hak Kerajaan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melucut hak wang berjumlah RM3,479,300.18 yang disita daripada Umno Pahang dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) untuk diserahkan kepada kerajaan.

Wang yang disita SPRM pada tahun lepas itu didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Hakim Muhammad Jamil Hussin dan Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Shahrir Mohd Salleh yang mendengar permohonan SPRM itu masing-masing memutuskan wang berjumlah RM2,479,300.18 yang disita dari Umno Pahang dan PBRS berjumlah RM1 juta adalah hasil aktiviti haram.

Di Mahkamah Tinggi Jenayah 4, Jamil membuat keputusan itu setelah menimbang hujah Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh selaku pemohon dan peguam Mohd Shukri Ahmad Mansor mewakili Umno Pahang yang juga responden.

“Responden gagal membuktikan RM2,479,300.18 adalah miliknya. Saya berpuas hati wang itu yang hendak dilucut hakkan oleh pemohon (SPRM) adalah hasil daripada aktiviti haram. Permohonan pemohon dibenarkan.”

Terdahulu, Jamil berkata, satu notis mengikut Seksyen 61 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 diisytiharkan dalam harta kerajaan persekutuan pada 10 Sept 2019.

“Notis itu adalah untuk memanggil mana-mana pihak ketiga yang mempunyai apa-apa kepentingan ke atas harta, iaitu wang RM2,479,300.18 supaya hadir ke mahkamah pada 9 pagi 18 Okt 2019 untuk menunjukkan sebab mengapa harta itu tidak boleh dilucut hakkan.

“Tiada pihak ketiga yang hadir pada 18 Okt 2019 untuk membuat apa-apa tuntutan ke atas harta itu, oleh itu kes ini antara pemohon dengan responden saja,” kata hakim.

Di Mahkamah Tinggi Jenayah 5, Shahrir membenarkan permohonan SPRM setelah mendapati pemohon berjaya membuktikan harta itu adalah hasil daripada aktiviti haram.

“Saya membenarkan permohonan pemohon untuk melucut hak ke atas RM1 juta itu,” kata Shahrir ketika mengumumkan keputusan kes itu yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman dan peguam K Lavinia mewakili PBRS yang juga responden.

SPRM dalam usaha mendapatkan semula RM270 juta dana 1MDB daripada 41 entiti dan individu yang didakwa dipindahkan dari akaun bank bekas perdana menteri, Najib Razak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");