Berita Hari Ini

Masih Ada Tidak Tahu Larangan Merokok

GEORGETOWN: Masih ada kalangan perokok di Pulau Pinang tidak tahu mengenai penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan.

Memetik laporan BH Online, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Asmayani Khalib, berkata hari pertama operasi semalam, sebanyak 27 notis dikeluarkan ke atas perokok tegar yang didapati melanggar peraturan larangan berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 396 premis diperiksa membabitkan lima daerah di negeri ini serta satu di pintu masuk antarabangsa.

Katanya, daripada jumlah itu, daerah Seberang Perai Tengah (SPT) mencatatkan jumlah paling banyak notis dikeluarkan iaitu 12 notis diikuti Timur Laut (enam notis), Seberang Perai Utara (empat notis), Barat Daya (tiga notis) dan pintu masuk antarabangsa (dua notis).

“Selain perokok, satu notis turut dikeluarkan kepada pemilik premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok mengikut Peraturan 12(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

“Tujuan operasi ini diadakan bukan untuk menghukum tetapi lebih penting adalah kita mahu beri kesedaran serta kefahaman mengenai bahaya merokok, selain menggalakkan mereka untuk berhenti merokok.

“Kita faham bukan mudah untuk mereka berhenti kerana ada kekangan tertentu tetapi jangan risau, jika mereka ada niat untuk berhenti kita boleh bantu dengan datang ke Pejabat Kesihatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu menyertai 12 pegawai daripada Jabatan Kesihatan Daerah Timur Laut untuk memeriksa premis makanan di kompleks berkenaan serta kawasan sekitarnya dalam memastikan pemilik serta orang awam mematuhi penguatkuasaan larangan terbabit.

Mengulas lanjut, Asmayani berkata operasi sedemikian akan diadakan lebih kerap untuk tempoh dua minggu pertama bulan ini seterusnya pemantauan setiap bulan.

“Kita harap hari ini tiada notis dikeluarkan terhadap perokok dan juga pemilik premis. Kita sudah masuk ke 2020, sepatutnya azam untuk berhenti merokok itu perlu kuat. Itu yang kita hendak tekankan.

“Sejak kempen dibuat setahun lalu, kita sudah nampak perkembangan (kesedaran mengenai bahaya merokok di tempat awam), malah pekedai juga ambil tahu untuk menegur pelanggan yang merokok, namun begitu masih ada segelintir yang tidak tahu,” katanya.

Katanya, tanggungjawab memberi kesedaran bukan saja terletak di bahu jabatan kesihatan, sebaliknya ia memerlukan kerjasama semua pihak dan perokok serta pemilik premis juga perlu peka dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");