Perak Hari Ini

Minta Kerajaan Perak Pertimbangkan Semula Pelaksanaan Projek Ladang Hutan

IPOH: Kerajaan Perak diminta untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan projek pembangunan ladang monokultur atau ladang hutan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal di negeri ini.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata ini kerana sekiranya diteruskan besar kemungkinan ia akan menjejaskan sumber pendapat masyarakat Orang Asli serta kawasan tadahan air.

Difahamkan projek tersebut bakal menjejaskan 1500 masyarakat Orang Asli dari 15 buah kampung.

Menurut Meor Razak, berdasarkan statistik oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak, pada tahun 2017, sebanyak 56,503 hektar atau 5.67 peratus daripada kawasan Hutan Simpanan Kekal di negeri ini telah dibangunkan ladang hutan yang melibatkan spesies getah klon balak.

Jelasnya, konsep ladang hutan tersebut ialah sebuah projek pembangunan ladang hutan yang dijalankan di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal yang mana ia secara jelas akan memberi impak buruk kepada kawasan sekitar.

“Terdapat beberapa kawasan cadangan yang dikenal pasti merupakan kawasan tadahan air iaitu Hutan Simpan Ijok, Hutan Simpan Kledang Saiong, dan Hutan Simpan Bintang Hijau.

“Manakala kawasan yang melibatkan masyarakat Orang Asli ialah seperti di Hutan Simpan Bukit Kinta, Hutan Simpan Korbu dan Hutan Simpan Pihah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Selain katanya kawasan Hutan Simpan Kenderong yang dikenal pasti bagi pembangunan ladang hutan durian musang king itu merupakan sebahagian daripada Rangkaian Ekologi ‘Central Forest Spine’ yang seharusnya dipelihara.

“Kita menggesa agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan agar dapat membatalkan projek pembangunan ladang hutan ini. Kita tidak menolak pembalakan, namun aktiviti pembangunan ladang hutan seperti ini kita tidak setuju,” katanya.

Sementara itu wakil komuniti Orang Asli dari Kampung Kerawat di Simpang Pulai, Mohd Radi Changang, 48, berkata sekiranya projek pembangunan ladang hutan itu diteruskan, ia akan memberi kesan langsung kepada sumber mata pencarian Orang Asli di situ.

Dia yang dari suku Temiar itu berkata ia bakal menjejaskan sumber pendapatan kepada sekitar 300 penduduk di Kampung Kerawat dan 4,000 penduduk dari kampung lain yang berhampiran.

“Ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan kami malah kami bimbang sekiranya tanah-tanah kami dimiliki orang asing seperti syarikat-syarikat korporat,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Meor Razak dan hampir 40 orang masyarakat Orang Asli telah menyerahkan memorandum bantahan berkenaan hal sama kepada Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Mohd Jaffrey Mohd Zainol di sini, hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");