Berita Hari Ini

Najib Pertikai Tindakan Intip Telefon Perdana Menteri

NAJIB Razak mempertikaikan kesahihan dari segi undang-undang tindakan mengintip perbualan telefonnya pada 2016 semasa beliau memegang jawatan perdana menteri, serta tindakan pihak agensi anti rasuah mendedahkannya kepada umum hari ini.

Bekas perdana menteri berkata tindakan merakam perbualan telefon perdana menteri boleh menjejaskan keselamatan negara, selain menjadi contoh pada masa akan datang.

Ditanya siapa yang beliau rasa mengintip perbualan telefonnya, Najib berkata: Inilah yang kita hendak tahu.”

“Sama ada ia boleh dilakukan di sisi undang atau tidak. Sekiranya tidak boleh, mereka perlu bertanggungjawab,” katanya kepada wartawan selepas hadir ke mahkamah untuk perbicaraan hari ke-68 kes melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Menurut Najib beliau boleh mengagak pihak yang mengintip telefonnya semasa beliau perdana menteri.

“Ada satu pihak ini dan saya tidak boleh dedahkan siapa mereka tetapi mereka perlu mematuhi peraturan. Sama ada mereka patuh atau tidak, itu kita kena cari tahu,” katanya.

Ketika seorang wartawan menyuarakan pandangan mungkin tidak salah perbualan telefon perdana menteri dirakamkan, Najib bertanya kembali apakah tindakan itu wajar.

“Tidak salah intip telefon seorang perdana menteri? Mungkin pada masa akan datang semua perdana menteri telefonnya akan diintip.

“Adakah anda menggalakkannya?”

Menurut Najib pendedahan rakaman perbualan telefonnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini “tidak pernah berlaku dalam sejarah negara”.

“Saya perdana menteri yang berkhidmat dan persoalannya ialah adakah mana-mana pihak diberi kuasa untuk mengintip perbualan perdana menteri yang berkuasa, dan bukan saya saja.

“Ini akan ada kesan pada hubungan diplomatik dan kepentingan Malaysia dengan negara lain.”

Najib juga mempersoalkan kenapa rakaman itu didedahkan sekarang.

“Kenapa dedahkan sekarang? Ini sesuatu yang berlaku lima tahun dulu. Apa motifnya? Adakah ini ada kaitan dengan pilihan raya kecil Kimanis dan sebagainya.

“Ini persoalan yang perlu dijawab… masa pendedahannya sangat, sangat mencurigakan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");