Berita Hari Ini

Para Majikan, Sila Ambil Perhatian…

KUALA LUMPUR: Perintah gaji minimum baharu yang dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran, sudah diwartakan dan akan berkuat kuasa 1 Februari ini.

Menurut BH Online, merujuk kepada warta kerajaan itu yang dilihat BH, kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.

Pelaksanaan gaji minimum RM1,200 sebulan atau RM5.77 sejam di wilayah bandar utama dan RM1,100 sebulan atau RM5.29 sejam selain wilayah bandar utama adalah berdasarkan tempat kerja yang ditakrifkan mengikut Seksyen 2 Akta Kerja 1955 (Akta 265), Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) dan Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) iaitu di mana-mana tempat kerja dijalankan untuk majikan oleh pekerja.

“Perintah ini tidak terpakai bagi perkhidmatan domestik sebagaimana yang ditakrifkan di bawah subseksyen 2(1) Akta Kerja 1955, subseksyen 2(1) Ordinan Buruh Sabah (bab 67) dan subseksyen 2(1) Ordinan Buruh Sarawak (bab 76).”

Sebelum ini, kerajaan memutuskan kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran, manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.

Kenyataan itu susulan pembentangan Belanjawan 2020 dan keputusan Jemaah Menteri pada 6 Disember lalu berhubung pelaksanaan gaji minimum RM1,200 sebulan di wilayah bandar utama.

Beberapa kesatuan termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebelum ini menuntut kerajaan menaikkan kadar gaji minimum ekoran peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Perintah itu juga memperincikan mengenai kadar gaji minimum mengikut jam dan hari serta bagi pekerja yang dibayar mengikut upah kerja, perjalanan, komisen, tan dan tugasan.

Gaji minimum dikekalkan penguatkuasaannya kepada semua pekerja di sektor swasta kecuali perkhidmatan domestik seperti dalam perintah gaji minimum 2018.

Keputusan kerajaan meningkatkan gaji minimum bagi pekerja di wilayah bandar utama bagi membantu pekerja di kawasan itu berdepan kos sara hidup yang tinggi.

Bandar raya utama yang terbabit ialah Johor Bahru, Iskandar Puteri, Alor Setar, Melaka Bersejarah, Pulau Pinang, Seberang Perai, Ipoh, Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Terengganu, Kuching Utara, Kuching Selatan, Miri, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, manakala bandar utama ialah Batu Pahat, Kluang, Kulai, Muar, Segamat, Pasir Gudang, Kulim, Sungai Petani, Langkawi, Kubang Pasu serta Kota Bharu.

Turut tersenarai ialah bandar Alor Gajah, Jasin, Hang Tuah Jaya, Seremban, Nilai, Port Dickson, Jempol, Kuantan, Temerloh, Bentong, Manjung, Kuala Kangsar, Taiping, Teluk Intan, Kangar, Ampang Jaya, Kajang, Klang, Selayang, Subang Jaya, Sepang, Kemaman, Dungun, Padawan, Sibu, Kota Samarahan, Bintulu, Sandakan, Tawau, Labuan dan Putrajaya.

Kementerian sebelum ini ini mengumumkan kadar gaji minimum akan terus disemak bagi memastikan ia sejajar keperluan semasa dan selaras hasrat mencapai kadar gaji minimum RM1,500 sebulan dalam tempoh lima tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");