Berita Hari Ini

Penjawat Awam Perlu ‘Neutral’, Jaga Tahap Profesionalisme

KUALA LUMPUR: Semua penjawat awam terutama mereka yang memegang jawatan tinggi di agensi atau jabatan kerajaan tidak boleh aktif berpolitik demi menjaga tahap profesionalisme dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tanpa memihak kepada mana-mana kumpulan.

Memetik laporan BH Online, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata beliau menyokong penuh cadangan CUEPACS supaya semua penjawat awam terutama kumpulan pengurusan dan gred 48 ke atas supaya tidak terbabit secara aktif dalam parti politik sama ada prokerajaan mahu pun pembangkang.

“Semua pegawai kerajaan terutama mereka yang berjawatan tinggi perlu kekal sebagai kumpulan berkecuali kerana mereka ibarat ‘tulang belakang’ dan penentu kejayaan sesuatu dasar yang mahu dilaksanakan di negara ini demi kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Jika semua penjawat awam tidak terbabit dengan politik maka saya yakin mereka dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan oleh rakyat dan kerajaan secara profesional tanpa bias (memihak) atau mengikut telunjuk mana-mana pemimpin politik tertentu.

“Sebaliknya kalau ada mana-mana penjawat awam yang bergiat aktif dan setia kepada mana-mana parti politik maka tidak mustahil ada keputusan dibuat mereka adalah tidak adil dan akan dipengaruhi oleh pihak lain,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.

Sebelum ini Presiden CUEPACS, Adnan Mat, dilaporkan sebagai berkata kerajaan perlu melihat had pembabitan penjawat awam dalam politik selari dengan pekeliling sedia ada yang membenarkan hanya kumpulan gred 48 ke bawah untuk menyertainya.

Adnan berkata, kerajaan sendiri sudah memasukkan ramai orang politik ke dalam pentadbiran seperti pegawai khas, setiausaha sulit dan setiausaha politik yang menggambarkan dua segmen itu tidak dapat dipisahkan.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, semua penjawat awam perlu memberikan taat setia dan melaksanakan setiap dasar kerajaan tanpa memihak kepada mana-mana parti politik kerana kerajaan boleh bertukar atau datang dan pergi setiap kali ada pilihan raya umum.

“Justeru, saya rasa semua penjawat awam perlu bersikap ‘neutral’ dan mengelak timbul dakwaan atau persepsi pihak tertentu bahawa sesuatu dasar gagal dilaksanakan kerana wujudnya unsur sabotaj dalam kalangan penjawat awam sendiri.

“Isu dakwaan ‘sabotaj’ tidak sepatutnya timbul kerana semua penjawat awam perlu mengetepikan soal fahaman politik dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada ‘Goverment of the day’ yang dipilih rakyat secara demokrasi menerusi proses pilihan raya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");