Perak Hari Ini

‘Pertikai Pendedahan Rakaman Audio? Itu Hak Beliau’ – SPRM

IPOH: Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enggan mengulas lanjut berkenaan komen Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mempertikaikan pendedahan audio melibatkan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) oleh SPRM hari ini.

Bagaimanapun Latheefa Koya berkata ia adalah hak Najib atau sesiapa pun untuk melakukan sedemikian.

“Saya hanya ada satu jawapan. Itu adalah hak beliau untuk membuat apa-apa tindakan,” jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Ramah Mesra SPRM Perak Bersama Media di Pusat Bowling Aeon Mall Kinta City, dekat sini, hari ini.

 

 

Hadir sama, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad.

Sementara itu, Latheefa turut memberikan respons yang sama ketika diajukan soalan berkenaan kenyataan pihak yang mempersoalkan tindakan SPRM itu ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Sabah sedang berlangsung ketika ini.

“Itu hak mereka untuk komen,” jawabnya ringkas.

Pagi tadi dalam satu sidang media di Ibu Negara, menerusi sembilan set rakaman perbualan berdurasi keseluruhan 45 minit, SPRM mendedahkan nama 20 individu yang dirakam, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut dalam rakaman perbualan berkaitan skandal dana 1MDB dan SRC.

Selain Najib, antara individu yang disenaraikan ialah termasuk isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Dalam perkembangan sama, Latheefa berkata cadangan bagi menempatkan pegawai kanan SPRM di pejabat Menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri bagi memperkasa integriti mendapat respons yang positif.

Ujarnya usaha yang dimulakan di Sabah itu disambut baik antaranya di Kedah.

“Perkara ini tiada paksaan tetapi syor daripada SPRM dalam usaha kita bagi mencegah gejala rasuah.

“Walau bagaimanapun kami berharap agar kerajaan-kerajaan negeri dapat menerima syor ini. Selain itu, kempen-kempen mencegah jenayah rasuah ini akan tetap kita teruskan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");