Panasnya Hari Ini
Like

Riza Aziz Berdepan Saman RM1.2b

January 24, 2020
314 Views
0 Comments
3 minutes read
Riza Aziz Berdepan Saman RM1.2b

LOS ANGELES: Pengendali skim penipuan ‘pump-and-dumb’, Jordan Belfort, yang diabadikan Martin Scorsese dalam filem The Wolf of Wall Street menyatakan dalam tuntutan saman bahawa beliau menjadi mangsa skim penipuan lebih besar yang didalangi penerbit filem terbabit.

Menurut BH Online, Belfort memfailkan tuntutan AS$300 juta (RM1.2 bilion) di Mahkamah Tinggi Los Angeles terhadap Red Granite Pictures dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riza Aziz, dengan mendakwa beliau tidak mengetahui pembikinan filem itu dibiayai jutaan dolar yang dicuri daripada kerajaan Malaysia.

Riza Aziz kini sedang menghadapi tuduhan rasuah di Malaysia kerana didakwa menggelapkan AS$248 juta (RM1 bilion) daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sebuah dana pembangunan negara.

Bapa tirinya, Datuk Seri Najib Razak, digulingkan sebagai perdana menteri selepas dakwaan kecurian kira-kira AS$4.5 bilion (RM18.3 bilion) daripada dana itu.

Belfort yang menjalani hukuman penjara 22 bulan selepas pelabur kerugian AS$200 juta pada awal 1990-an mendakwa skandal 1MDB mencemarkan kisahnya.

Belfort menjual hak memoir dan sekuel Catching the Wolf of Wall Street kepada Red Granite.

Bagaimanapun, selepas skandal 1MDB, tuntutan saman itu menyatakan bahawa syarikat itu tidak lagi dapat memanfaatkan sepenuhnya hak berkenaan.

Berdasarkan tuntutan saman itu, Belfort berkata beliau mempercayai Riza apabila Riza menyatakan dana Red Granite daripada sumber sah termasuk daripada individu berpengaruh dan Goldman Sachs.

“Belfort benar-benar rasa diperdaya selepas mengetahui fakta sebenar mengenai sumber pembiayaan untuk Red Granite dan filem berdasarkan buku / kisahnya kerana pihak defendan menyembunyikan perbuatan jenayah dan sumber pendanaan ini daripadanya,” menurut tuntutan saman.

“Sekiranya dia tahu, dia pasti tidak akan menjual hak-haknya.”

Walau bagaimanapun, dalam wawancara dengan finews.com pada 2017, Belfort berkata apabila bertemu orang-orang Red Granite, beliau tahu mereka adalah ‘penjenayah’.

“Saya bertemu dengan orang-orang ini, dan berkata kepada Anne (tunangnya), ‘Orang-orang ini adalah penjenayah’,” kata Belfort dalam temu bual itu.

Beberapa bulan selepas beliau menjual hak berkenaan, beliau berkata syarikat itu menganjurkan pesta membabitkan jutaan dolar di Cannes.

“Saya berkata kepada Anne, ‘Ini adalah penipuan, siapa yang melakukan ini telah mencuri wang.’ … Saya tahu, ia sangat jelas”.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman pelucuthakan sivil pada 2016 untuk mendapatkan balik hasil daripada The Wolf of Wall Street, yang mencecah AS$392 juta (RM1.6 bilion) di seluruh dunia. Pada Mac 2018, Red Granite bersetuju untuk membayar AS$60 juta (RM244 juta) untuk menyelesaikan tindakan pelucuthakan sivil.

Peguam Red Granite, Matthew Schwartz dari Boies Schiller Flexner, mengatakan bahawa saman Belfort tidak mempunyai merit.

“Tuntutan Jordan Belfort tidak lebih daripada cubaan terdesak dan sangat ironi untuk keluar daripada perjanjian bahawa buat kali pertama dalam hidupnya menjadikannya kaya dan terkenal melalui cara yang sah,” kata Schwartz dalam satu kenyataan.

Pada 2017, kerajaan AS mengatakan bahawa Belfort hanya membayar balik AS$12.8 juta daripada AS$ 110 juta yang diperintahkan untuk dipulangkan kepada pelabur.

Belfort diwakili oleh Bryan Freedman dari Freedman dan Taitelman LLP.

Komen & Pendapat

Comments are closed.