Panasnya Hari Ini

‘Salam’ Isa Samad Kepada Ikhwan Untuk Dapatkan Wang – Saksi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa ‘salam’ yang disampaikan oleh bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kepada Ikhwan Zaidel bertujuan untuk mendapatkan wang daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) itu.

Bekas pegawai khas Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip, 53, berkata beliau mempunyai pemahaman seperti itu berikutan ‘salam’ berkenaan disampaikan melaluinya.

“Kalau salam biasa mungkin mereka (Mohd Isa dan Ikhwan) boleh telefon sesama mereka tetapi oleh kerana salam disampaikan melalui saya, saya faham ia bukan salam biasa tetapi untuk dapatkan duit daripada Ikhwan,” katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, lapor Bernama.

Saksi ke-21 pihak pendakwaan itu berkata demikian pada hari ke-15 perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta yang dihadapi Mohd Isa berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Afzainizam: Kamu cakap (dalam keterangan sebelum ini) Ikhwan pun faham pasal kirim salam itu.

Muhammad Zahid: Sebab dia pernah sebut pasal nak bagi RM3 juta.

Afzainizam: Peguam Mohd Isa (Datuk Salehuddin Saidin) cadangkan pada kamu bahawa kamu ada ambil duit itu.

Muhammad Zahid: Tugas saya terima (wang) daripada Ikhwan dan beri kepada Tan Sri (Mohd Isa).

Afzainizam: Kamu semalam bersetuju dengan peguam bahawa Mohd Isa tidak suruh pun (sampaikan salam) tetapi kamu terus sampaikan ‘salam’ Mohd Isa kepada Ikhwan.

Muhammad Zahid: Sebelum ini berkali-kali (sampaikan ‘salam’). Bila beri ‘salam’ Ikhwan akan faham dan beri duit kepada Mohd Isa.

Muhammad Zahid yang memegang jawatan sebagai pegawai khas Mohd Isa selama enam tahun sejak 2011, turut diminta menjelaskan mengenai perbualan antara beliau dan Mohd Isa sebelum ini yang berbunyi “Kalau dia orang bagi apa-apa nanti kau ambil lah”, dan saksi itu menyatakan bahawa perbualan itu mengikut pemahamannya bermaksud apa-apa jua yang diberi, beliau harus menerimanya bagi pihak Mohd Isa.

“Saya faham maksud apa-apa itu ialah duit,” katanya.

Saksi itu turut menyatakan bahawa beliau tiada niat untuk memberi gambaran negatif terhadap Mohd Isa ketika memberi keterangan, sebaliknya hanya menceritakan perkara yang sebenar.

Terdahulu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk membuat pindaan pada tarikh bagi pertuduhan rasuah yang dihadapi Mohd Isa.

Mohd Isa, 71, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April, 2014 dan 15 Dis, 2015.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");