Berita Hari Ini

Shahrir Samad, Ahmad Maslan Ditahan SPRM, Hadapi Tuduhan Esok

KUALA LUMPUR: Dua pemimpin UMNO, Tan Sri Shahrir Abd Samad dan Datuk Seri Ahmad Maslan, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menghadapi pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok, atas kesalahan berkaitan pengubahan wang haram.

Shahrir ditahan jam 11.22 pagi, manakala Ahmad ditahan jam 10.10 pagi ketika hadir memberi keterangan bagi melengkapkan proses siasatan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

SPRM dalam kenyataannya, berkata suruhanjaya itu sudah mendapat izin untuk mendakwa kedua-dua pemimpin UMNO Johor itu pada jam 9 pagi esok.

Shahrir bakal menghadapi satu pertuduhan, manakala Ahmad berdepan dua pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“SPRM menahan Shahrir pada jam 11.22 pagi manakala Ahmad pula ditahan pada jam 10.10 pagi hari ini di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas mereka hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir.

“Kedua-dua kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM. Kesemua maklumat berkaitan kes ini akan dimaklumkan esok selepas pertuduhan dibacakan,” menurut kenyataan itu.

Shahrir dan Ahmad adalah di antara 80 individu dan entiti yang menerima notis kompaun daripada SPRM pada Oktober tahun lalu kerana dipercayai menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Isnin lalu, Shahrir dan Ahmad menolak tindakan SPRM mengeluarkan notis kompaun bagi mendapatkan semula dana yang diarah dikembalikan atas dakwaan diambil dari 1MDB dengan mencabarnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah Tinggi menetapkan 26 Februari depan untuk mendengar permohonan pemimpin berkenaan.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, tetap dengan pendiriannya menafikan pernah menerima dana daripada 1MDB berbentuk cek tunai.

Shahrir yang juga bekas Pengerusi FELDA, sebelum ini menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan tindakan SPRM dan sedia berdepan dengan sebarang pendakwaan memetik BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");