Panasnya Hari Ini

Siasatan Audio SPRM: Azeez Rahim Sudah Dipanggil

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil keterangan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, di Bukit Aman minggu lalu, bagi membantu siasatan kes rakaman audio yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dikaitkan dengan rakaman itu pula akan dipanggil pada masa terdekat.

“Kita sudah panggil Ahli Parlimen Baling minggu lalu. Saksi lain menyusul (dipanggil memberi keterangan) dalam masa terdekat),” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.

Pada 15 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, memberi keterangan hampir empat jam kepada polis berkaitan rakaman audio berkenaan.

Yang turut memberi keterangan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan lima pegawai suruhanjaya itu.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib, Rosmah dan Abdul Azeez yang dirakam perbualannya, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai itu yang turut membabitkan beberapa tokoh kenamaan asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan 45 minit diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.

Semua rakaman perbualan yang didedahkan itu dipercayai berlaku di antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada entiti tidak didedahkan, tetapi agensi antirasuah itu yakin rakaman terbabit adalah tulen.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");