Panasnya Hari Ini
Like

Syed Saddiq Bidas Tindakan Desak Tun Mahathir Letak Jawatan

January 21, 2020
548 Views
0 Comments
2 minutes read
Syed Saddiq Bidas Tindakan Desak Tun Mahathir Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan tindakan sejumlah penyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara berterusan mempersoalkan kedudukan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Memetik laporan Astro Awani, menurut Menteri Belia dan Sukan itu, tindakan yang dilakukan itu disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak berdisiplin.

Bahkan, kata Syed Saddiq, tindakan sedemikian juga boleh dianggap tidak mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

“Tidak pernah sekali pun Tun mengingkari janjinya.

“Setiap kali ditanya berkenaan transisi, Tun sentiasa menjawab dengan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan kepada DS (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim).

“Walaupun didesak kiri dan kanan oleh sekutu DS Anwar, Tun M masih tetap dengan pendirian ini. Beliau amat menghormati Konsensus PH,” kata Ahli Parlimen Muar itu di Facebook peribadinya pada Selasa.

Dalam catatan itu, Syed Saddiq turut menyenaraikan nama-nama yang disifatkan sebagai dari kem Anwar dan DAP iaitu P Ramasamy, Johari Abdul, Ronnie Liu, Abdullah Sani, Akmal Nasir, Rafizi Ramli, Syukri Razab dan Syed Husin Syed Ali.

“Sejak tahun lepas mereka mempersoalkan kedudukan YAB Tun M dan membelakangkan Konsensus PH.

“Tidak sampai 2-3 tahun Tun M memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, mereka sudah mendesak YAB Tun M meletakkan jawatan.

“Bagaimana YAB Tun M ingin mentadbir negara jika setiap hari didesak, ditekan dan diserang oleh mereka yang dianggap sebagai sekutu DS Anwar?” soal Syed Saddiq.

Pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dalam masa sama menggesa agar desakan supaya Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik dihentikan.

“Get your house in-order! (Selesaikan hal sendiri dahulu!)” kata Syed Saddiq lagi.

Komen & Pendapat

Comments are closed.