Perak Hari Ini

Tuduhan Seleweng Dana: MCA Perak Minta Zhemin Untuk Sama-sama Lapor Kepada Polis, SPRM

IPOH: MCA Perak ‘menjemput’ Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Keranji, Chong Zhemin untuk sama-sama membuat laporan berhubung dakwaan penyelewengan peruntukan RM150 juta bagi projek pembinaan Hospital Kampar yang baharu.

Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berkata dakwaan Setiausaha Publisiti DAP negeri itu disifatkan sebagai satu tuduhan yang berat.

Katanya, Zhemin dalam hantaran di laman Facebook pada 2 Januari dan pada blog miliknya pada 3 Januari lalu telah menuduh bahawa MCA Perak telah menyelewengkan dana tersebut bagi pembinaan Hospital Swasta Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

“Tuduhan ini amat serius. Sekiranya ada bukti kukuh, ia adalah satu jenayah pecah amanah kerana ia telah melibatkan jenayah salah guna wang peruntukan.

“Tapi sebaliknya sekiranya Zhemin hanya sekadar memfitnah yang tiada bukti atas tuduhan beliau, ia adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Kami mengutuk tindakan sedemikian.

 

“Baru-baru ini Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon, telah minta beliau untuk kemukakan bukti.

“Namun, apa yang Zhemin tunjukan hanya sehelai surat rasmi dari Kementerian Kewangan yang tidak ada kaitan dengan tuduhan beliau.

“Disebabkan itu kami berpandangan beliau tidak mempunyai asas terhadap tuduhannya,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan MCA Perak, di sini, hari ini.

Justeru Guo Nan menjemput Zhemin untuk turut menghadirkan diri di Ibu Pejabat Kontinjen Perak pada Rabu dan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Meru Raya pada Jumaat.

Beliau menyeru agar Adun Keranji itu untuk tampil bersama-sama bukti supaya laporan dan siasatan dapat dibuat ke atas tuduhannya itu.

“Sekiranya beliau tidak hadir, kami tetap akan buat laporan polis dan akan meminta pihak polis memanggil beliau untuk memberi kenyataan berkenaan perkara tersebut.

“Jika beliau terlalu sibuk, kami tetap menerima sekiranya beliau hanya menghantarkan wakil beliau sahaja,” ujarnya.

Sebelum sidang media berlangsung, Guo Nan telah menunjukkan kepada pemberita paparan telefon pintarnya yang menunjukkan beliau telah menghantar jemputan kepada Zhemin menerusi aplikasi WhatsApp.

 

Pada tengah sebentar tadi, dalam satu pesanan ringkas kepada pemberita menerusi WhatsApp, Guo Nan menyatakan beliau telah hadir dan menghantar sekali lagi surat jemputan yang sama ke Pejabat Adun Keranji di Kampar.

“Surat jemputan tersebut diserahkan kepada wakil Zhemin yang juga Ahli Majlis Kampar, Stella Tee Sin Yee,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");