Panasnya Hari Ini

BN, PAS mahu pilihan raya, tolak kerajaan campuran

BARISAN Nasional (BN) dan PAS tidak akan menyokong sebarang usaha membentuk kerajaan campuran sekiranya melibatkan DAP dan menggesa agar pilihan raya umum baharu diadakan, tegas blok pembangkang itu.

Setiausaha bersama Muafakat Nasional Annuar Musa berkata, mereka memohon agar Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan untuk membubarkan Parlimen sewaktu menghadap hari ini.

“Dalam situasi ini, mandat harus dikembalikan kepada rakyat dan kita mohon supaya parlimen dibubarkan dan biarlah rakyat tentukan,” katanya dalam sidang media bersama pemimpin tersebut.

Jelasnya, mereka juga menolak kerana cadangan membentuk kerajaan campuran itu dibuat atas perkiraan individu dan bukan parti.

Oleh itu, sokongan awal kepada Dr Mahathir itu terpaksa ditarik balik, katanya.

Katanya Umno, MCA, MIC, PBRS dan PAS memutuskan demikian selepas siri rundingan berlangsung di belakang tabir di antara pemimpin parti ekoran kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen itu kemudiannya menyampaikan perkara itu sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong pada petang ini, kata Annuar.

Perkara sama diakui pemimpin PAS, MCA, MIC dan PBRS dalam sidang media sama.

Baginda mula menemuduga 90 daripada 222 ahli Parlimen hari ini untuk menentukan sokongan wakil rakyat tersebut untuk memilih perdana menteri baharu.

Antara ahli Parlimen yang muncul untuk menghadap baginda di Istana Negara hari ini termasuk daripada Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak.

GPS terdahulu dalam satu kenyataan menegaskan sokongan kepada Dr Mahathir untuk menjadi perdana menteri baharu.

Ketua whip parti itu, Fadillah Yusof menyatakan, beliau juga mempersembahkan nama Dr Mahathir sebagai perdana meneri kelapan sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Saya menulis nama Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri. Tiada perbincangan, cuma isi borang siapa yang hendak dipilih sebagai perdana menteri,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Negara.

Dr Mahathir yang kini perdana menteri interim dilaporkan berusaha membentuk kerajaan campuran baharu dalam siri rundingan bersama pemimpin parti.

Beliau mengumumkan, antara yang ditemuinya hari ini adalah pemimpin GPS Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Turut ditemuinya adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Beliau juga bertemu Azmin Ali, ahli Parlimen Gombak yang dipecat dari PKR dan akan bertemu presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");