Berita Hari Ini

Cubaan Lelaki Bawa Masuk Daging Tikus Kering Gagal

BAYAN LEPAS – Cubaan seorang lelaki warga Myanmar membawa masuk daging tikus kering ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini gagal selepas dia ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang malam semalam.

Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, pemeriksaan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menahan lelaki berusia lingkungan 30-an di laluan ketibaan antarabangsa kira-kira jam 8 malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam bagasi yang dibawa lelaki itu menemui daging tikus kering seberat 780 gram tanpa sebarang dokumen permit import dan sijil kesihatan dari negara pengeksport.

“Tujuan sijil kesihatan veterinar ini adalah untuk memastikan barangan daging tersebut bebas penyakit dan virus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu dalam kes berasingan, Zarina berkata, pihaknya turut merampas buah mangga harumanis yang dibawa masuk oleh penumpang dari negara Thailand tanpa sebarang dokumen yang sah seperti import permit & sijil fitosanitasi.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan jam 8 malam itu mendapati penumpang tersebut membawa mangga harumanis seberat 59.8 kilogram yang dianggarkan berjumlah RM2,565.68.

“Tujuan larangan pengimportan ini bagi menghalang risiko kemasukan serangga perosak seperti kumbang pengorek buah mangga ke Malaysia dan merosakkan industri mangga negara.

“Selain daripada larangan pengimportan, kemasukan buah mangga oleh penumpang di laluan udara juga adalah dilarang,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah daripada Maqis menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jika sabit kesalahan boleh didenda di bawah Seksyen 11(3) iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Zarina berkata, Maqis sentiasa mengambil langkah lebih serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

Tambahnya, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");