Berita Hari Ini

Kementerian Kewangan Akan Bertemu Penggiat Industri Pelancongan

GEORGETOWN: Kementerian Kewangan akan bertemu penggiat industri pelancongan Isnin ini, bagi mendapat pandangan mengenai pakej rangsangan ekonomi, susulan penularan jangkitan coronavirus baharu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pertemuan itu akan membincangkan mengenai hal sektor pelancongan yang terjejas akibat wabak yang bermula dari Wuhan, China.

“Saya akan bertemu pelbagai pihak. Isnin, saya akan bertemu dengan semua yang terbabit dengan sektor pelancongan.

“Kita akan mengadakan proses perbincangan. Kita harap selepas ia dibentangkan di Kabinet, (pakej rangsangan) ini dapat dilakukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Sekolah Suria di sini, hari ini.

Kelmarin, Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berharap kerajaan akan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi lebih besar untuk membantu sektor yang terjejas, ekoran jangkitan coronavirus (2019-nCoV).

Katanya, MATTA bersama pihak berkepentingan industri utama sudah mengadakan beberapa perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan; Kementerian Kesihatan dan Tourism Malaysia untuk mewujudkan strategi dalam menangani kemerosotan ketara jumlah perjalanan ke Malaysia berikutan coronavirus.

Pada 2003, kerajaan melaksanakan pakej ekonomi bernilai RM8.1 bilion untuk membantu mengurangkan kesan wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS), manakala pada 2009 pakej rangsangan RM60 bilion diumumkan bagi mengharungi kelembapan ekonomi global.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");