Berita Hari Ini

‘Isu Palestin Bukan Soal Agama’ – Dr Mahathir

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu semua pihak membuka mata dan tidak menganggap isu penindasan yang membelenggu Palestin sejak sekian lama adalah berkaitan agama semata-mata.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan, isu yang menimpa negara di Asia Barat itu lebih cenderung kepada soal ketidakadilan dan krisis kemanusiaan.

Sehubungan itu, katanya, tanggungjawab menjaga keamanan dan memastikan keadilan ditegakkan wajar dipikul semua pihak, merentasi segenap kepercayaan agama.

“Saya pernah bercakap mengenai isu Palestin di Jepun. Setakat ini saya belum berbuat demikian di China tetapi mungkin juga kita akan bercakap mengenai Palestin di China.

“Bagaimanapun, persoalan yang saya ingin tekankan di sini adalah isu yang sedang berlaku di Palestin berkisar soal keadilan dan kemanusiaan, bukannya soal Islam atau bukan Islam.

“Agama tidak ada kena mengena. Apa yang berlaku di Palestin menidakkan hak asasi mereka. Saya fikir ini sepatutnya kita pandang serius,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Liga Parlimen Al-Quds kali ketiga di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, Trump sewajarnya berundur kerana dilihat kerap menggunakan isu negara lain demi kepentingan sendiri untuk dipilih semula sebagai Presiden buat penggal kedua.

“Saya harap rakyat AS buat keputusan yang lebih baik. Trump menidakkan dasar negaranya sendiri dengan menggunakan isu tekanan negara luar untuk membantunya menang pilihan raya.

“Cara Trump ini mungkin diterima di AS, tetapi tidak di Malaysia. Jika ada orang luar yang didapati cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya di sini, kita akan ambil tindakan terhadap orang itu di sini,” katanya.

Dr Mahathir berkata, sebarang perancangan untuk membela hak dan nasib rakyat Palestin yang ditindas AS, Israel dan beberapa negara blok Eropah tidak boleh dilakukan bermatlamatkan dendam dan marah.

Jika berbekalkan dendam, Perdana Menteri bimbang pihak berkenaan akan bertindak di luar jangka sehingga mengancam nyawa manusia tidak bersalah berikutan marah dan kecewa dengan apa yang berlaku terhadap penduduk Palestin.

“Membantah sahaja tidak mencukupi, sebaliknya perlu berusaha untuk memenangi perjuangan dengan syarat kita mempunyai strategi yang sesuai.

“Ini sepatutnya diberi perhatian dan penekanan oleh ahli Parlimen supaya mereka boleh membantu strategi untuk memenangi perjuangan berkenaan.

“Tindakan membalas dendam bukan bersandarkan kemarahan dan kekecewaan dengan meletupkan diri sehingga mengorbankan banyak nyawa tidak bersalah.

“Dengan strategi betul, objektifnya adalah untuk menang dan bukan membalas dendam, sekali gus dapat menegakkan keadilan kepada rakyat Palestin dan semua pihak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");