Berita Hari Ini

Lelaki Pijak al-Quran Sudah Ditahan Polis

JOHOR BAHRU: Lelaki yang memijak al-Quran sambil menghina Islam dalam perbuatan yang disiarkan secara langsung menerusi satu akaun Facebook pada Khamis lalu, ditahan polis hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Asisten Komisioner M Kumar, berkata lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 1.40 tengah hari tadi.

“Polis sudah menahan suspek tengah hari tadi di bandar raya ini.

“Esok, kita akan mohon perintah reman ke atas suspek daripada Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadapnya,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.

Khamis lalu, video suspek yang memijak al-Quran sambil menghina Islam yang dibuat secara langsung menerusi akaun di Facebook, menimbulkan kemarahan ramai umat Islam.

Rakaman video itu juga viral menyebabkan suspek dilaporkan dibelasah orang awam.

Pagi tadi, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata polis menerima aduan daripada seorang pengurus projek berusia 34 tahun mengenai insiden itu yang disedarinya ketika sedang melayari Facebook.

“Pengurus projek itu sedang melayari Facebook sebelum ternampak satu posting daripada kenalannya bernama Jen KL.

“Posting berkenaan memaparkan seorang lelaki yang membuat siaran langsung dan dirakam semula oleh Jen KL.

“Rakaman berkenaan memaparkan suspek dengan sengaja memijak al-Quran di atas katil, malah suspek juga membuat rakaman suara yang menghina Islam.

“Pengadu kemudian membuat laporan polis pada jam 2.56 petang Khamis lalu,” katanya.

Dzulkhairi berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 295 dan 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bagi hukuman mengikut Seksyen 295, ia membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Seksyen 298 pula boleh dipenjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, pula membawa hukuman penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

“Polis menasihatkan kepada orang awam untuk berhati-hati menyebarkan video atau memuat naik video yang boleh menyentuh sensitiviti kaum terutama sekali membabitkan isu keagamaan, ” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");