Berita Hari Ini

Jumlah Kematian COVID-19 Lepasi 1,600

BEIJING : Jumlah kematian akibat wabak coronavirus (COVID-19) melonjak melepasi 1,600 hari ini, dengan kematian pertama di luar benua Asia, sekali gus meningkatkan kebimbangan komuniti antarabangsa.

Lebih daripada 68,000 penduduk sudah dijangkiti virus itu di China setakat ini, yang dipercayai bermula di wilayah Hubei akhir Disember lalu, sebelum dengan pantas menular ke seluruh negara dan lebih 24 negara seluruh dunia, lapor BH Online.

Serentak dengan kritikan susulan cara mereka menangani krisis berkenaan, Presiden Xi Jinping menggesa pelaksanaan dasar lebih agresif dalam melindungi keselamatan orang ramai, manakala Beijing mengarahkan semua penduduk untuk kembali ke ibu negara bagi menjalani kuarantin, iaitu pendekatan terkini untuk mengekang penyebaran virus.

Sementara itu, seorang pelancong China berusia 80 tahun disahkan meninggal dunia akibat virus berkenaan di Perancis, lapor Menteri Kesihatan negara itu, Agnes Buzyn, semalam.

Setakat ini hanya tiga kematian dilaporkan berlaku di luar China, masing-masing satu di Filipina, Hong Kong dan Jepun.

Jumlah kematian di China bagaimanapun meningkat kepada 1,662 hari ini selepas Hubei mencatatkan 139 kematian terbaharu.

Beberapa negara bertindak mengenakan larangan atas kemasukan pelawat dari China dan banyak syarikat penerbangan utama turut membatalkan perkhidmatan ke negara itu buat masa ini.

Kes terbesar di luar China setakat ini membabitkan sebuah kapal persiaran di Jepun, dengan 285 jangkitan dilaporkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");