Perak Hari Ini

Perak Sasar Lebih 17 Sekolah Untuk Program Pembangunan Belia

IPOH: Perak mengorak langkah setapak lagi ke hadapan apabila kerajaan negeri bakal melaksanakan satu program pembangunan belia melalui aktiviti seni tarian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata inisiatif tersebut terbuka kepada semua pelajar yang berumur bermula dari 13 sehingga 19 tahun.

Katanya program yang akan digerakkan Direct Academia International (DAI) itu akan meliputi semua jenis sekolah di seluruh Perak dan untuk peringkat awal lebih 17 sekolah telah disasarkan.

Ujarnya lagi perbincangan dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri sedang berada di peringkat akhir yang mana kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan inisiatif itu sebahagian daripada program di luar bilik darjah atau kokurikulum di setiap sekolah di Perak.

“Kerajaan negeri amat menggalakkan usaha sebegini yang mana bukan sahaja meliputi seni tarian malah pelbagai jenis kesenian.

“Kita juga pada masa sama mahu mengetengahkan ekonomi kesenian ini yang mana jika dilihat pada media-media massa, ramai yang telah berjaya apabila terlibat dalam dunia seni secara profesional.

“Kita mahu memperkenalkan usaha ini bukan sahaja kepada murid-murid malah kepada ibu bapa juga.

“Harus ditekankan inisiatif ini bukan untuk kita mengajar seni tarian semata-mata. Sebaliknya kita mahu mendedahkan kepada mereka tentang nilai kemanusiaan melalui seni tarian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Pengarah Urusan DAI, Shannon Lee berkata program pembangunan belia melalui seni tarian itu akan diadakan bermula April sehingga September tahun ini.

Katanya setiap sesi yang dijalankan pada setiap petang Sabtu itu akan dibimbing sekurang-kurangnya tiga orang tenaga pengajar mahir.

Dalam sidang media tersebut, turut diumumkan penari dan koreografer tarian klasik India terkemuka tanah air, Datuk Ramli Ibrahim sebagai penaung kehormat program itu.

Penerima anugerah ‘Padma Shri’ itu iaitu sebuah anugerah berprestij Negara India, itu berkata melalui kesenian ia boleh meningkatkan perkembangan rohani dan jasmani khususnya terhadap golongan muda.

“Kita sedar bahawa program ini bukan untuk melahirkan para penari yang mahir sebaliknya kita menekankan aspek perkembangan rohani dan jasmani mereka.

“Selain itu, melalui kesenian juga ia mampu memupuk rasa kebersamaan dalam kalangan pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");