Perak Hari Ini

Perak Tekad Rebut Gelaran Juara Unity Shield

IPOH: Perak bertekad untuk merebut gelaran juara Unity Shield daripada Kedah pada penganjuran perlawanan edisi kedua di Stadium Perak, di sini pada 15 Februari ini.

Pada tahun lepas, Kedah muncul juara edisi sulung kejuaraan selepas menumpaskan Perak 2- 0, hasil jaringan Fernando Rodriquez dan Syahrul Azwari di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri berkata perlawanan tersebut juga dilihat sebagai perlawanan ‘pemanas badan’ sebelum bemulanya saingan Piala Malaysia musim ini nanti.

Selain itu beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Unity Shield edisi kali ini sebagai medan yang sesuai untuk menguji tahap prestasi para pemain.

“Saya melihat kedua-dua pasukan ini seolah-olah telah memuktamadkan para pemain mereka.

“Jadi perlawanan ini juga kita boleh menguji sejauh mana keserasian antara pemain itu sendiri.

“Inilah masa untuk pasukan Perak membuktikan prestasi terbaik para pemain baru dan kesinambungan pemain yang sedia ada,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan PAFA, di sini, hari ini.

Ujar beliau perlawanan itu akan berlangsung pada jam 9 malam dan tiket bagi menyaksikan perlawanan tersebut dijual pada harga RM5 bagi kanak-kanak dan RM10 bagi teres terbuka.

Katanya hasil jualan tiket perlawanan itu akan disumbangkan kepada bekas-bekas pemain Perak yang memerlukan bantuan untuk meringankan beban mereka.

“Pada sebelah siang, kita akan cuba mengaturkan beberapa program sampingan. Contohnya kita mungkin akan mengadakan perlawanan persahabatan antara para bekas pemain Perak dan Kedah.

“Ini bakal meniupkan lagi semangat bagi mereka yang mahu menonton perlawanan pada sebelah malam,” katanya.

Walau bagaimanapun menurut beliau perkara tersebut masih diperingkat perbincangan dan ia akan diumumkan kelak sejurus mendapat keputusan muktamad terhadap perkara itu.

Perisai kejuaraan Unity Shield ditempah khas daripada Royal Selangor Pewter Factory, dan dianjurkan secara tahunan secara bergilir-gilir di Alor Setar dan Ipoh.

Bagi format perlawanan, 90 minit penuh akan dilangsungkan dengan tiada had pertukaran pemain.

Sekiranya kedua-dua pasukan masih terikat selepas tamat aksi 90 minit, perlawanan akan dibawa ke penentuan sepakan penalti untuk menentukan juara Unity Shield.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");