Berita Hari Ini

Teori juruterbang sengaja jatuhkan MH370 mungkin betul, kata bekas ketua misi MH370

PETALING JAYA: Bekas ketua misi antarabangsa mencari pesawat MH370 berkata, teori juruterbang Zaharie Ahmad Shah sengaja menjatuhkan pesawat terbabit mungkin benar, menjelang ulang tahun ke-6 kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines itu.

Martin Dolan, bekas ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia yang menyertai misi pelbagai negara mengesan pesawat itu, memberitahu sebuah dokumentari baru mengenai kehilangan pesawat berkenaan yang beliau kini percaya teori juruterbang jahat yang pernah dinafikan pihak berkuasa di seluruh dunia.

“Kita sekarang mempunyai beberapa maklumat tambahan untuk menyokongnya…bermakna lebih banyak kemungkinan ada orang mengawal penerbagan itu,” kata Dolan dipetik The Australian ketika bercakap dalam sebuah dokumentari khas bertajuk “MH370: The Untold Story” yang akan disiarkan Sky News.

Dolan yang menolak teori juruterbang jahat sebelum ini, yakin pesawat itu akan ditemui.

Pesawat Malaysia Airlines yang dalam perjalanan ke Beijing dengan 239 penumpang dan kru itu hilang daripada radar kira-kira 40 minit selepas meninggalkan Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

Kehilangannya dianggap satu daripada misteri terbesar penerbangan yang berakhir dengan misi pencarian paling lama dan mahal dalam sejarah.

Timbul beberapa teori konspirasi berhubung kehilangan itu, termasuk Zaharie yang berusia 53 tahun sengaja melencongkan pesawat itu daripada laluan biasa selepas kata-kata terakhirnya “Selamat malam. Malaysian 3-7-0” sebelum pesawat itu hilang daripada radar pada 1.21 pagi.

Teori “juruterbang jahat” bagaimanapun ditepis rakan Zaharie dan juruterbang lain.

Tetapi, dalam program sama, bekas perdana menteri Australia, Tony Abbott mendedahkan beberapa pegawai tertinggi Malaysia memberitahu beliau yang juruterbang itu mungkin melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Dakwaan itu disahkan rakan sejawatan Abbott ketika itu, bekas perdana menteri Najib Razak kepada FMT semalam yang berkata pegawai kerajaan Malaysia mengesyaki plot jenayah dalam kehilangan pesawat MH370.

Najib berkata, penyiasat juga pernah memfokuskan siasatan mereka ke atas hubungan politik Zaharie.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");