Berita Hari Ini

Tiada Kakitangan TH Diberhentikan, Operasi Diteruskan Dengan Nama Raia Hotel

KUALA LUMPUR– Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) memaklumkan bahawa operasi keempat-empat hotel yang telah dipindah milik daripada TH kepada UJ tetap akan diteruskan dan kekal di bawah pengurusan baharu dengan nama Raia Hotel.

TH dalam kenyataan berkata, tiada kakitangan TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR) akan diberhentikan berikutan notis bertarikh 17 Februari yang ditandatangani oleh Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulkefli Ahmad, mengenai penutupan operasi hotel yang terletak di Kota Kinabalu, Kuala Terengganu, Pulau Pinang dan Alor Setar itu disebabkan pengambilan alih hartanah tersebut bawah anak syarikat milikan penuh UJ, UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM).

“UJPM akan mengambil alih operasi keempat-empat hotel tersebut yang sebelum ini di bawah seliaan THHR di bawah pengurusan baru dan akan beroperasi seperti sedia kala dan kekal sebagai hotel patuh syariah dengan nama baharu iaitu Raia Hotel bermula 1 April 2020.

“UJ juga telah menyediakan dana bagi menambahbaik kemudahan dan fasiliti hotel untuk memberi manfaat kepada pengunjung. UJ juga ingin meyakinkan orang ramai bahawa hotel- hotel ini boleh digunakan seperti mana yang telah dipraktikkan dulu semasa musim operasi haji,” katanya.

Sementara itu, tiada kakitangan THHR akan diberhentikan iaitu seramai 90 peratus daripada kakitangan THHR akan terus bekerja di rangkaian Raia Hotel, manakala 10 peratus kakitangan hotel akan diserap oleh THHR Kelana Jaya.

“Selain dari tiada pemberhentian kaki tangan hotel, 90 peratus kakitangan yang terlibat juga akan menerima saguhati berdasarkan sumbangan yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan di THHR.

“TH akan sentiasa menjaga kebajikan kakitangan yang terlibat demi kelangsungan karier mereka di masa hadapan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan TH mengumumkan penamatan operasi dan perkhidmatan hotel milik mereka yang mana satu keputusan yang tidak dapat dielakkan memandangkan operasi dan pengurusan hotel-hotel tersebut telah dan/atau akan diambil alih oleh UJ di bawah Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Lembaga Tabung Haji.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");