Berita Hari Ini
Like

6 Bulan Untuk Pulihkan Ekonomi Negara Lepas Covid-19

March 30, 2020
264 Views
0 Comments
2 minutes read
6 Bulan Untuk Pulihkan Ekonomi Negara Lepas Covid-19

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan perlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan selepas krisis COVID-19 berakhir untuk memulihan ekonomi negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.

Menurut beliau, keadaan akan kembali pulih bukanlah dengan kadar segera, justeru sasaran tempoh tersebut dipilih adalah dilihat wajar.

“Disebabkan itu, segala pembayaran, seperti hutang bank, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) ditangguhkan enam bulan, jadi itulah jangkaan kita.

“Kita doakan begitu, maka sudah pasti kita perlu cari strategi lain untuk memulihkan keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernamaselepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Mustapa berkata pelbagai sektor termasuk sektor pelancongan, perhotelan, peruncitan serta pelaburan negara terjejas akibat wabak Covid-19.

“Sektor pelancongan umpamanya, orang tidak akan datang serta-merta ke Malaysia, jadi kita perlu membuat promosi yang agak agresif,” katanya.

Menurut Mustapa, ada sesetengah negara terjejas Covid-19 menjangkakan negara terbabit akan mengambil masa sekurang-kurangnya sembilan bulan sehingga setahun bagi membangunkan kembali ekonomi masing-masing.

Sementara itu, Mustapa berkata kerajaan sedia mengadakan perbincangan dan menerima cadangan daripada sebahagian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro yang mendakwa tercicir daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

“Ia merupakan bilangan yang besar dan sudah pasti ia di luar kemampuan kerajaan.

“Apapun kerajaan sentiasa terbuka kerana PKS ini peranannya besar iaitu lebih 60 peratus yang bekerja dalam sektor PKS.

“Oleh itu adalah penting kerajaan sentiasa berbincang dalam Majlis Tindakan Ekonomi, insya-Allah, bagi tingkatkan lagi libat urus dengan pihak-pihak berkenaan,” katanya.

Ketika ini, terdapat kira-kira 907,000 usahawan tempatan di seluruh negara.

Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.