Perak Hari Ini

Ahmad Faizal Angkat Sumpah Menteri Besar Perak

KUALA KANGSAR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Ahmad Faizal Azumu, dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13.

Ia sekaligus menjadikan beliau menjawat jawatan tersebut kali kedua selepas Mei 2018 yang lalu.

Pelantikan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang berusia 50 tahun itu diperkenan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat angkat sumpah jawatan dan menandatangani watikah di Istana Iskandariah di sini, yang sempurna pada jam3.45 petang, hari ini.

Foto: Bernama

Turut berkenan hadir, Raja Muda, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Dihilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Hadir sama, speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Istiadat berkenaan turut disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi, Datuk Hashim Hamzah.

Foto: Bernama

Pagi tadi, Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Kolonel (B) Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Ahmad Faizal itu telah diperkenan Sultan Perak.

Semalam, Baginda telah memanggil kesemua ketua parti politik dari gabungan Perikatan Nasional (PN) Perak yang terdiri daripada Ahmad Faizal (Bersatu), Razman Zakaria (Pas) serta Datuk Saarani Mohamad (Umno).

Terdahulu pada Isnin, Ahmad Faizal mengumumkan gabungan PN Perak terdiri telah mendapat sokongan 32 Adun bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Keputusan itu sekali gus menyebabkan kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) yang terbentuk pada Mei 2018 runtuh.

Untuk rekod, Dun Perak kini menyaksikan Perikatan Nasional memiliki 32 kerusi Dun yang mana masing-masing terdiri daripada Umno (25), Bersatu (4), Pas (3) dan tiga Bebas.

Sementara PH pula memiliki 24 kerusi iaitu 16 dari DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) (5) serta PKR (3).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");